Selidik dulu , jangan terlalu paranoid dengan isu hina agama

Oleh Noraini Nordin (Ulasan Berita)

Sebagai orang Islam, semua daripada kita pasti akan marah bila kalimah Allah atau kemuliaan Kaabah misalnya, cuba dihina dan dipermain-mainkan.

Lebih-lebih lagi kalau penghinaan itu dengan cara meletakkannya di tempat paling rendah seperti di kaki atau di alas yang boleh dipijak oleh sesiapa.

Bahkan, adalah perkara normal sebenarnya di mana penganut agama apa sekali pun pasti akan turut marah jika agama mereka dihina dan dipermainkan.

Sebab itu, demi keharmonian dalam masyarakat berbilang bangsa, isu agama adalah perkara paling pantang untuk disentuh tanpa adab serta etika.

Agama adalah untuk dihormati, bukan untuk dihina atau dipersenda.

Lantaran itu, tidak menghairankan bila reaksi orang Islam terhadap isu kalimah Allah di stoking dan gambaran mirip kalimah Allah pada tapak kasut baru-baru ini menjadi isu panas di kalangan orang Islam.

Ya, memang kita berhak marah dan mempertahankan kesucian agama kita daripada sebarang penghinaan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

HARUS ADA SIKAP MENYELIDIK

Tetapi, dalam waktu yang sama, kita juga harus rasional, tidak terburu-buru dan tidak menganggap semua perkara yang mirip atau berdasarkan andaian semata-semata sebagai turut menghina agama.

Harus ada sikap menyelidik dan memastikan kesahihan sesuatu yang dilihat menghina agama itu terlebih dahulu sebelum bertindak menularkannya di media sosial.

Contohnya, hanya disebabkan melihat sesuatu dengan keghairahan ia dianggap menghina agama, sampai tidak boleh membezakan antara sejadah mini dengan alas kaki.

Kalau ia alas kaki, memanglah suatu kesalahan dan perbuatan menghina agama jika meletakkan gambar Kaabah di atas permukaannya.

Namun, untuk sejadah mini bagi anak-anak kecil bersolat, tidaklah menjadi kesalahan meletakkan gambar Kaabah itu.

Sejadah untuk dewasa pun kebanyakannya memang ada tertera Kaabah di bahagian di mana kita sujud ketika bersolat.

Demi keharmonian, sementara kita ingin menjaga kesucian Islam, janganlah pula sampai kita terlalu paranoid sehingga semua perkara yang tidak jelas dan tidak pasti dilihat sebagai menghina agama, lalu dengan pantas bertindak meviralkannya di media sosial.

Selidik dan pastikan kesahihannya terlebih dahulu sebelum ghairah mahu menghebahkan kepada umum apa yang kita rasa itu, takut terserlah pula ketidakcerdikan kita.

Yang cintakan keharmonian marilah kita bersama-sama menjaga adab dalam pergaulan. Jangan termakan provokasi musuh dan kaki fitnah.

Malaysia Madani yang sejahtera mesti kita pertahankan daripada toksid yang merosakkan kesejahteraan negara.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *