Oleh Noraini Nordin (Ulasan Berita)
4 April 2024
Pilihanraya kecil (PRK) Dun Kuala Kubu Baharu telah ditetapkan pada 11 Mei, manakala pengundian awal ialah 7 Mei ini.
SPR yang bermesyuarat hari ini turut memutuskan tarikh penamaan calon pada 27 April 2024.
Ini bermakna, tempoh berkempen bagi PRK Kuala Kubu Baharu ini adalah selama 14 hari.
Kerusi Dun Kuala Kubu Baharu diisytiharkan kosong susulan kematian penyandangnya, YB Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lepas.
Lee yang menjadi Adun sejak 2013 berjaya mempertahankan kerusi Dun Kuala Kubu Baharu bagi kali ketiga pada PRN tahun lalu dengan majoriti 4.119 undi.
Beliau memperolehi 14,862 undi menewaskan Teoh Kian Heong (PN) yang yang mendapat 10,743 undi, Chnng Boon Lai (PRM) 527 undi dan Siva Prakash Ramasamy (Muda) yang memperolehi 1,186 undi.
PENGUNDI MELAYU 46 PERATUS
Dun Kuala Kubu Baharu mempunyai pengundi seramai 40,226 dengan Melayu sebanyak 46 peratus, Cina 30 peratus, India 18 peratus dan lain-lain 5 peratus.
Di sebalik pelbagai isu yang sedang melanda negara, termasuk hubungan kaum dalam isu stoking bertulis kalimah Allah yang nampaknya masih belum menemui titik noktahnya, PRK Kuala Kubu Baharu boleh dikira ujian kepada Kerajaan Madani.
Ini kerana ada pemimpin yang saling berbalah terdiri daripada parti-parti yang bersama membentuk Kerajaan Madani.
Demi kelangsungan kestabilan kerajaan dan agar perpaduan di kalangan masyarakat tetap utuh, PRK ini merupakan masa yang terbaik untuk mengendurkan segala ketegangan.
Siapapun calon dari Pakatan Harapan , semua anggota parti khasnya jentera yang bertugas, laksanakan tanggung jawab dengan amanah serta gigih.
Mari kita berlapang dada, tingkatkan perpaduan demi mempertahankan kerusi PH di Kuala Kubu Bahru.
Jika calon yang bertanding akan dikekalkan diberi kepada DAP, faktor kemenangan banyak bergantung kepada undi Melayu.
SEMUA MESTI KERJA KERAS
Sebab itu, penting bagi semua parti perpaduan ekerja keras memastikan siapa juga calon yang dipilih mewakili Kerajaan Madani akan beroleh kemenangan.
Semasa berkempen , inilah peluang kita untuk sepakat untuk menjawab pelbagai isu serta membuat pencerahan kepada rakyat bahawa Kerajaan Madani adalah yang terbaik untuk mereka.
Mari kita bersama-sama meraikan perbezaan pandangan dan menoktahkan segala salah faham.
Hanya dengan kemenangan di PRK Kuala Kubu Baharu mampu menutup mulut mereka yang sentiasa mahu melihat Kerajaan Madani ini bergolak dan pemimpinnya berbalah sesama sendiri.
Kita mesti menghantar mesej yang jelas kepada rakyat bahawa di sebalik apa pun pergolakan yang tidak dapat dielakkan, kita sebagai kerajaan tetap teguh bersatu hati serta saling membantu antara satu sama lain.
Ayuh, move on..balut luka-luka lama pertingkahan dengan penawar kedamaian.
Perteguhkan tugu kita, raih kemenangan bergaya sebagai hadiah kepada Kerajaan Madani .
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat