4 April 2024
Hubungan Malaysia Indonesia terus diperkukuhkan demi kesejahteraan rakyat kedua negara.
Terkini Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menerima kunjungan hormat Presiden Terpilih Indonesia merangkap Menteri Pertahanan Prabowo Subianto, bagi mengadakan pertemuan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Ketibaan Prabowo di Perdana Putra kira-kira pukul 9.00 pagi merupakan sebahagian daripada rangka lawatan khas sehari beliau ke Malaysia.
LAWATAN PERTAMA PRABOWO
Ini merupakan lawatan pertama Prabowo ke Malaysia selepas diumum sebagai pemenang rasmi Pemilihan Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029.
Anwar berkata pertemuan tersebut digunakan untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pendapat mengenai karier masing-masing dan hala tuju seterusnya dalam merapatkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia.
“Perjalanan karier politik kami yang hampir sama apabila diuji dengan pelbagai cabaran sebelum dilantik, juga menjadi topik perbincangan santai selain diselang-seli dengan kisah Prabowo sewaktu beliau melanjutkan pelajaran dan pendidikan menengah di Victoria Institution (VI) Kuala Lumpur.
“Saya sempat titipkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Prabowo yang bakal dilantik sebagai Presiden Indonesia Kelapan. Semoga hubungan persahabatan Malaysia-Indonesia terus erat dan diperkukuh demi kebaikan bersama di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan di Facebook mengulas mengenai pertemuan tersebut.
Semalam, pesawat khas yang membawa Prabowo bersama delegasi selamat mendarat di Pangkalan Udara Subang pada pukul 10.15 malam.
Sebelum pulang ke Jakarta, Prabowo Subianto turut dijadual menghadiri mesyuarat tertutup bersama-sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Kuala Lumpur hari ini.
Pada Mac lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya Umum Indonesia (KPU) mengumumkan Prabowo dipilih sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia setelah menewaskan dua pesaingnya.
Pengerusi KPU, Hasyim Asy’ari dipetik sebagai berkata Prabowo yang juga Menteri Pertahanan dan gandingannya selaku naib presiden, Gibran Rakabuming Raka menerima lebih 96 juta undi atau kira-kira 58.6 peratus daripada jumlah keseluruhan dan cukup untuk memperoleh majoriti pusingan pertama.
Dua pencabarnya iaitu Anies Baswedan pula memperoleh hampir 41 juta undi atau 24.9 peratus daripada jumlah keseluruhan manakala Ganjar Pranowo menerima 27 juta undi atau lebih 16 peratus.
Prabowo dan Gibran yang juga anak sulung kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo sudah diisytihar menang bulan lalu selepas kiraan tidak rasmi menunjukkan mereka memenangi majoriti.
Sebelum ini, Prabowo, 72, diramalkan secara meluas akan memenangi jawatan presiden dan beliau akan mengambil alih kepimpinan pada Oktober selepas tempoh peralihan.
Menurut pakar, popularitinya melonjak kerana semangat nasionalisnya dalam ucapan populis selain kelayakannya sebagai Menteri Pertahanan dan sokongan daripada Widodo, lebih dikenali sebagai Jokowi.
(Petikan bahan/foto FB Anwar Ibrahim)