Dr. Zaliha harapan warga kota untuk hidup sejahtera

Oleh Noraini Nordin (Ulasan Berita)

Meskipun dikira masih baru sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa telah membuktikan beliau adalah pemimpin yang boleh diharapkan oleh warga kota.

Dr. Zaliha semakin menyerlah memposisikan dirinya sebagai menteri yang gigih menjaga kebajikan serta peka kepada keperluan rakyat tanpa mengira status serta kaum.

Sebagaimana kita sedia maklum, isu perumahan adalah perkara yang kritikal dihadapi oleh mereka yang tinggal di Wilayah Persekutuan, khususnya di Kuala Lumpur.

Terutama bagi golongan muda dan mereka yang baru memulakan kerjaya, hambatan paling besar ialah bagaimana untuk memiliki rumah mampu milik sebagai ruang membina kehidupan masa depan.

Menyedari hal tersebut, Dr Zaliha tidak mengambil masa yang lama untuk menggerakkan usaha mahu membina 10 ribu unit Residensi Madani dan Residensi Wilayah pada harga bawah RM300 ribu seunit.

RESIDENSI MAMPU MILIK

Kedua-dua residensi itu akan dibina di Putrjaya dengan konsep mampu milik untuk memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

Projek pembinaannya akan bermula tahun ini dan dijangka siap pada 2027.

Pembinaan kedua-dua projek residensi adalah di bawah kluster Program Usaha Jaya Insan atau PUJI, Kementerian Wilayah Persekutuan.

Dalam hal ini dan bagi memastikan apa yang diusahakan menjadi kenyataan, Dr Zaliha sendiri telah mengadakan perbincangan dengan pemaju bagi mengetahui kesedian dan kemampuan mereka melaksanakan dua projek tersebut.

Selain perumahan, isu lain yang tidak boleh diabaikan di ibu kota ini ialah tentang kehidupan golongan gelandangan.

Baru-baru ini, beliau turut serta dalam Operasi Bersepadu Menyelamatkan Gelandangan di Kuala Lumpur yang melibatkan beberapa agensi termasuklah JWP, DBKL, PDRM, MKN, JIM, JPN, AADK, Jabatan Kesihatan, SWCorp, JKM dan YKN dengan jumlah kekuatan seramai 203 orang.

Tujuan operasi ini diadakan adalah untuk menzahirkan komitmen dan keprihatinan kerajaan Madani dalam menyelesaikan isu gelandangan yang merupakan salah satu daripada isu legasi di Kuala Lumpur.

Menurut Dr Zaliha, operasi ini penting bagi mengenal pasti serta mendapatkan data demografi gelandangan untuk mengenal pasti punca dan solusi terbaik dalam membantu mereka untuk mandiri dan seterusnya keluar daripada belenggu kehidupan sebagai gelandangan.

Di waktu yang sama, Dr Zaliha juga menyeru mana-mana NGO dan NGI yang ingin menyalurkan bantuan makanan kepada gelandangan di ibu kota ini untuk menghubungi Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar, DBKL dan hanya menyalurkan bantuan tersebut di tiga lokasi yang ditetapkan iaitu Anjung Kembara, Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku dan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit.

Meskipun banyak lagi isu di ibu kota ini yang perlu ditangani dan diselesaikan, tetapi dengan dua perkara di atas yang dilakukan dengan pantas oleh Dr Zaliha selaku Menteri Wilayah Persekutuan, harapan untuk melihat isu-isu lain turut ditangani seiring dengan masa selepas ini pasti amat cerah.

Tahniah Dr Zaliha. Teruslah menjalankan amanah dengan cemerlang .

Ertinya, tidak salah PMX Dato’ Seri Anwar Ibrahim melantik Dr. Zaliha ke jawatan penuh cabaran ini.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *