Oleh Noraini Nordin (Ulasan Berita)
Berbaik dengan semua demi kemakmuran berpanjangan , mesej PMX kepada dunia yang amat jelas untuk difahami.
Keberanian dan ketegasan PMX dalam melontar pandangan berkaitan isu-isu antarabangsa menjadikan Malaysia kini semakin dihormati di pentas dunia.
Dalam konteks menarik pelaburan demi kemakmuran negara yang berpanjangan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ternyata telah meletakkan petunjuk yang jelas kepada dunia.
Petunjuk itu ialah Malaysia tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak dalam hubungan dingin Amerika Syarikat dengan China.
SIKAP TIDAK MEMIHAK
Menyoroti suara terkini Anwar dalam ucapan terbarunya semalam di Putrajaya, beliau berkata dengan sikap tidak memihak itu, Malaysia sedia menerima dan menggalakkan mana-mana pelaburan asing, tak kira Timur mahu pun Barat.
Jelas beliau , sebagai negara kecil yang sedang berkembang, tetapi mengutamakan kemaslahatan rakyat, Malaysia Madani mengamalkan pendekatan berbaik dengan semua.
“Cuma ada beberapa hal yang dibesarkan, soal Palestin dan China kerana banyak negara Barat agak sangsi mengapa nampak kita berdamping dengan China.
“Jawapan saya mudah, kita negara kecil, kita mahu berkembang, kita jaga kemaslahatan rakyat.
“Kumulatif pelaburan dari Amerika Syarikat (AS) masih nombor satu dan kita tidak ada masalah, pelabur dari Amerika datang, kita sambut dengan baik,” katanya semasa berucap pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya semalam.
MALAYSIA TIDAK ADA SEBAB UNTUK BERGADUH DENGAN CHINA
Seterusnya Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia tidak mempunyai sebab untuk bermusuhan dengan China kerana republik itu dianggap sebagai jiran meskipun terdapat sedikit perbezaan pendapat yang boleh dibincangkan dengan baik.
“Dalam beberapa hal soal pelaburan, hubungan sangat baik, saya ambil pendekatan yang sama menggalakkan pelaburan dari Timur dan Barat – Amerika, China, India, Australia yang akan beri manfaat kepada kita.
“Jadi apabila saya ditanya soalan, bab fobia China, saya jawab tak ada sebab untuk ada permusuhan dan anti sesiapa,” katanya.
Begitu juga dengan AS, menurut Anwar, meskipun Malaysia berbeza pendapat tentang sikap kuasa besar itu dalam soal perang Israel-Palestin dan kezaliman Zionis.
“Malah dalam sidang media bersama Canselor Jerman, bukan saya hendak pilih buat kenyataan yang keras terhadap orang lain.
“Saya lebih baik tumpu perhatian untuk betulkan ekonomi negara kita, struktur negara kita, angkat martabat negara kita.
“Saya kata, saya tidak bangkitkan soal dia iktiraf Israel, soal dia sokong Israel, saya kata hentikan kezaliman dan pembunuhan ini segera.
“Masalah persaingan AS dan China dalam bidang teknologi maklumat itu adalah masalah dia, kita yang terbaik dari Eropah, China, kita rangkul semua,” kata Anwar lagi.
Dalam hal ini, di samping berpendirian tidak memihak dan sedia menerima pelaburan daripada mana-mana negara, Anwar dalam masa yang sama tetap meletakkan Malaysia sebagai negara yang berani bersuara dalam isu-isu antarabangsa, khususnya melibatkan kemanusiaan dan kezaliman, seperti Palestin misalnya.
Hakikatnya, pendirian dan sikap seperti inilah yang menjadikan negara kita terus dihormati dunia.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat