Wanita KEADILAN lancar Sistem ASAK, usaha terbaru perkasakan pergerakan

Oleh Noraini Nordin

Wanita KEADILAN terus mara memperkasakan pergerakan dengan usaha terbaharu iaitu melancarkan Sistem ASAK esok.

Sistem ASAK atau Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan ini akan dirasmikan oleh Naib Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar di Shah Alam, Selangor.

Pelancaran ini juga sempena Hari Wanita Sedunia yang turut dihadiri lebih 400 pimpinan wanita pelbagai peringkat dari seluruh negara.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Dr. Sathia Prakash Nadarajan dan Ketua Wanita KEADILAN Pusat Fadhlina Sidek.

Secara umumnya Sistem ASAK adalah sebuah inisiatif dalam mengorak langkah ke arah pendigitalan bagi menyahut aspirasi Kerajaan Madani dalam menggapai matlamat pembangunan mampan.

Ia adalah halaman website rasmi yang tertutup dan dapat dimanfaatkan sebagai pemantapan dan penyeragaman tadbir urus Wanita KEADILAN daripada peringkat pusat sehingga ke ranting.

Sebagai sebuah organisasi yang mewakili kerajaan Malaysia, Wanita KEADILAN melancarkan sistem ini adalah sebagai usaha bersama-sama mendukung matlamat yang ingin dicapai oleh Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

MEMPERKASAKAN KEMAHIRAN

Dengan memperkenalkan Sistem Asak ini, ia diharapkan dapat memperkasakan kemahiran Wanita KEADILAN dalam literasi digital dan meningkatkan daya saing mereka ketika negara menempuh era kepesatan ekonomi digital masa kini dan ke arah negara berpendapatan tinggi.

Sistem ‘WEB-BASED’ yang akan merangkumkan komponen yang terdiri daripada maklumat, pengurusan surat – menyurat, organisasi, mesyuarat dan takwim ini juga suatu lamgkah menuju ke arah pengurangan penggunaan kertas dan meningkatkan lagi keberkesanan pentadbiran organisasi.

Mereka yang diberikan akses kepada sistem ini adalah Setiausaha Wanita Pusat, Timbalan Setiausaha Wanita Pusat, Setiausaha Pengelola Wanita Pusat, Setiausaha Kerja Wanita Pusat, Ketua Wanita Negeri, Setiausaha Wanita Negeri, Bendahari Wanita Negeri, Ketua Wanita Cabang dan Setiausaha Wanita Cabang.

SESI TAKLIMAT DALAM TALIAN

Bagi memberi lebih kefahaman dan memberi penerangan modul yang akan diguna pakai dalam Sistem ASAK, sesi taklimat secara dalam talian akan dilaksanakan dalam bulan Mac akan datang mengikut zon negeri.

Seterusnya, siri jelajah dan latihan akan dilaksanakan mengikut negeri dijangka pada April sehingga Julai tahun ini.

Matlamat akhir ialah agar Mesyuarat Agung Tahunan Wanita Cabang dan Kongres Wanita KEADILAN tahun ini akan menggunakan Sistem ASAK sepenuhnya.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *