Oleh Noraini Nordin (Ulasan berita)
Sebagai wanita saya merasa amat bertuah dilahirkan di negara ini.
Malaysia yang aman damai telah membuka jendela seluas-luasnya untuk kaum hawa mengilap potensi melakar masa depan yang gemilang.
Pilihlah apa juga bidang pun yang ingin diterokai oleh Wanita , tembok penghalang yang dahulunya teguh menyekat langkah mereka kini telah diruntuhkan.
Sempena Hari Wanita tahun ini banyak berita-berita gembira yang telah diumumkan sebagai menghargai wanita.
Terkini – satu lagi khabar gembira bagi Wanita Malaysia yang turut sama menyambut Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac lalu.
Pastinya kegembiraan yang berganda bagi Wanita KEADILAN kerana Naib Presiden parti , Nurul Izzah Anwar pada tarikh yang sama telah dilantik
sebagai Pengerusi Social and Economic Research Initiative atau SERI.
SERI bukanlah sebuah GLC, GLIC atau agensi di bawah Kerajaan Madani, tetapi merupakan sebuah badan penyelidik yang menumpukan kepada isu kesaksamaan ekonomi dan sosial dalam masyarakat.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan SERI, Nurul Izzah dilantik kerana mempunyai pengalaman dan kepakaran yang luas dalam pengukuhan pembangunan sosial yang boleh mengukuhkan komitmen badan penyelidik itu untuk terus menumpukan isu sosial dan ketidakadilan jurang kesenjangan ekonomi.
Nurul Izzah juga, kata badan itu, telah memperkenalkan inisiatif seperti laporan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi Malaysia yang menumpukan kepada mengukur kesejahteraan sosial-ekonomi.
“Nurul Izzah turut memperjuangkan usaha pemerkasaan wanita dan kesaksamaan gender sepanjang kerjayanya.
“Melancarkan projek seperti Projek Wanita Permatang Pauh dan kerjasama dengan program Menghapuskan Halangan untuk Pemeriksaan Serviks (ROSE) untuk memperkasakan wanita Malaysia dan meningkatkan akses mereka kepada penjagaan kesihatan.
“Semangat dan rekod prestasinya dalam menangani isu keadilan sosial sejajar dengan misi SERI.
“Beliau merupakan penjawat awam, aktivis politik dan penggubal undang-undang yang terkenal dan telah menggalakkan kesaksamaan ekonomi dan sosial secara berterusan untuk semua rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.
PERUBAHAN BAHARU ORGINASASI
Sehubungan itu, SERI berbesar hati dan mengalu-alukan kehadiran Nurul Izzah menyertai badan tersebut sempena perubahan baharu organisasi dan amat menantikan impak positif yang mampu diberikannya.
“Kami yakin bahawa pandangan dan kepimpinan beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN akan banyak menyumbang kepada usaha kami dalam mempromosikan masyarakat yang lebih saksama,” tambah kenyataan badan tersebut.
Dengan pelantikan itu, Nurul Izzah akan bekerjasama rapat dengan pasukan SERI dan beberapa ahli lembaga pengarah baharu terdiri daripada Dr Jasmine Begum, Chong Kai Wooi dan Prof Sanjeev Krishna.
SERI diterajui oleh Rashaad Ali sebagai Pengarah Urusan manakala Dr Helmy Haja Mydin dan Dr Yolanda Augustin masing-masing Penasihat Kanan Strategi.
GILAP POTENSI DIRI
Paling penting, pelantikan Nurul Izzah sebagai Pengerusi SERI diumumkan bersamaan dengan tarikh sambutan Hari Wanita di seluruh dunia iaitu 8 Mac adalah motivasi berganda bagi kami.
Ayuh…Wanita Malaysia . Ambillah peluang untuk mengilap potensi diri, cipta sejarah terus maju bersama Kerajaan Madani yang diterajui oleh PMX Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat