Oleh Noraini Nordin (Ulasan Berita)
Febuari pasti menjadi bulan yang indah untuk penjawat awam khasnya yang sedang merancang perbelanjaan keluarga.
Ini kerana dua berita gembira berkaitan dengan kewangan yang diumumkan oleh PMX Isnin lalu pasti melegakan mereka .
Dua berita gembira sedang menanti mereka sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dua hari lalu ketika perjumpaan dengan warga Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Berita gembira pertama, insentif awal sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah serta RM1,000 kepada semua pesara kerajaan akan dibayar sekali gus pada 23 Februari ini.
Ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada 13 Oktober 2023 lalu, Anwar mengumumkan insentif berkenaan akan dilaksanakan pada akhir bulan Februari 2024.
Bermakna, bayaran insentif awal itu nanti bolehlah dianggap sebagai ‘durian runtuh’ menjelang sambutan Ramadan dan pembukaan sesi persekolahan 2024/2025 pada awal Mac depan.
Berita gembira kedua ialah apabila Anwar berkata, kerajaan akan menggunakan pendekatan “fast track” dalam meluluskan pelaksanaan skim gaji baharu penjawat awam, berbanding jangkaan sebelum ini ia akan dilaksanakan pada akhir tahun ini.
Pada November lepas, Anwar dilaporkan berkata, skim gaji baharu itu akan diumumkan sebelum akhir tahun ini.
Anwar menambah, melalui pendekatan “fast track” itu, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan selesai dalam tempoh dua bulan lagi, sebelum dibawa kepada Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.
“KSN (ketua setiausaha negara) dan KPPA (ketua pengarah perkhidmatan awam) setuju untuk percepatkan, jadi sekarang kita sudah sampai (tahap) lebih cepat dari dijangkakan awal sebelum ini.
“Kita tak mahu ia sengaja dilengah-lengahkan, sudahlah 12 tahun menunggu. Mula-mula ditubuhkan jawatankuasa, kemudian jawatankuasa khas, kemudian jawatankuasa Jemaah Menteri, kemudian jawatankuasa dipengerusikan Perdana Menteri, sampai 15 jawatankuasa baru nak putuskan.
“Sekarang tidak, kita ambil (pendekatan) “fast track”, saya ingat paling lewat dua bulan ini, kemudian baru kita bentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan muktamad,” tegas Anwar lagi.
Dengan dua berita gembira ini, tiada sebab penjawat awam tidak berasa gembira dan ini sudah tentu memberi lebih rangsangan kepada mereka bekerja dengan lebih gigih lagi.