PADU semakin diterima rakyat, hampir 3 juta telah mendaftar

Oleh Noraini Nordin (Ulasan Berita)

Polemik-polemik politik yang meleret-leret tidak ada faedahnya kepada rakyat.

Ia hanyalah agenda mereka yang anti Kerajaan Madani untuk memesongkan pemikiran rakyat – ibarat cubaan menghidupkan bara api dalam timbunan kayu yang telah basah lencun ditimpa hujan.

Yang lalai akan terus terbuai-buai hingga lupa untuk memajukan diri , menikmati peluang-peluang yang ditawarkan oleh kerajaan bagi meningkatkan taraf hidup di bawah kerajaan Madani.

Antara isu yang masih lagi menjadi ‘momokan’ ialah Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang telah dilancarkan oleh PMX baru-baru ini .

Rakyat yang bijak berlumba-lumba mendaftar PADU manakala rakyat yang ‘dikelirukan’ masih ‘termangu -mangu’
lantaran terpengaruh dengan cerita- cerita palsu mengenai PADU.

Rakyat yang cerdik akan dapat menilai apa yang terbaik untuk diri mereka serta orang-orang disayangi.

Sejak PADU dilancarkan oleh PMX
sebagaimana dilaporkan secara rasmi, seramai 2.69 juta individu sudah membuat pendaftaran dalam Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di seluruh negara sehingga Selasa lalu.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dipetik sebagai berkata, sejak dilancarkan pada 2 Januari lalu, Sarawak, Selangor, Johor, Perlis dan Kelantan telah merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi.

“Di Kelantan seramai 191,078 atau 15 peratus penduduknya telah mendaftar dengan PADU.

“Selain itu pendaftaran tinggi turut direkodkan di Johor iaitu 270,000 orang dan lebih 100,000 di Perlis.

“Sarawak dan Selangor juga merekodkan jumlah pendaftaran yang tinggi,” kata beliau selepas mengadakan tinjauan proses pendaftaran PADU di Pusat Ekonomi Digital (PEDI) Mahligai di Bachok, Kelantan Rabu lalu.

PADU telah dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pangkalan data komprehensif yang mengandungi data mikro yang diintegrasikan daripada pelbagai sumber agensi kerajaan.

Dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, DOSM dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.

Antara lain, sistem PADU akan memastikan rakyat yang layak mendapat manfaat tidak tercicir daripada menerima subsidi bersasar, bantuan dan perlindungan sosial.

Pendaftaran PADU akan dibuka sehingga 31 Mac depan.

Berdasarkan sambutan yang diterima setakat ini, menunjukkan pengenalan sistem PADU ini semakin diterima baik oleh rakyat seluruhnya.

Kejayaan memperolehi pendaftaran hampir tiga juta individu dalam tempoh sebulan lebih sikit adalah petunjuk sistem tersebut tidak ditolak oleh rakyat.

Barangkali hanya sedikit masa lagi diperlukan kerana sebilangan rakyat Malaysia ini biasanya suka buat kerja di saat-saat akhir.

Selepas ini, ditambah dengan pihak berkaitan lebih kerap turun padang ke seluruh negara memberi lebih penjelasan, diyakini semakin ramai akan mendaftar nama mereka dalam PADU.

Pentingnya program ‘ turun padang ‘ itu dilakukan ialah kerana bukan semua orang ada kemudahan dan faham untuk mendaftar, terutama golongan warga emas serta mereka yang tinggal di pedalaman dan sebab itu, mereka perlu diberikan bantuan.

Sesetengah yang lain pula dikelirukan oleh pihak tidak bertanggungjawab kononnya dengan mendaftar dengan PADU, segala maklumat mereka tidak lagi rahsia dan dimanipulasi oleh sesiapa saja.

Meski perkara itu sudah dijelaskan oleh kerajaan banyak kali, tetapi masih ada yang mudah terpedaya dengan propaganda tidak bertanggungjawab itu.

Inilah pentingnya program ‘turun padang’ itu sentiasa dilakukan.

Lagi pula, mendaftar melalui PADU adalah untuk manfaat dan kebaikan mereka juga.

Ini kerana melalui pendekatan subsidi bersasar yang akan diperkenalkan tidak lama lagi, hanya mereka yang mendaftar dengan PADU sahaja akan menikmatinya.

Begitu juga dengan pelbagai program perlindungan sosial yang bakal diperkenalkan kerajaan, semua yang ingin menikmatinya adalah berdasarkan maklumat dalam sistem PADU.

Akhirnya, apa perlu difahami, semua orang wajib mendaftar dengan PADU jika ingin menikmati pelbagai kemudahan serta faedah daripada Kerajaan Madani.


Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *