Permintaan PMX wajar diberi perhatian oleh semua

Oleh Noraini Nordin (Ulasan berita)

Berikutan polemik mengenai pengurangan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih berterusan dan tidak ternampak ada tanda-tanda akan berakhir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya tampil meminta supaya perbahasan, perbincangan dan pandangan mengenai isu berkenaan segera dihentikan.

PMX berkata, ini kerana keputusan Lembaga Pengampunan memberi pengurangan hukuman kepada Najib dibuat atas pertimbangan ihsan Yang di-Pertuan Agong.

Jelasnya, keputusan Yang di-Pertuan Agong itu muktamad dan dibuat atas pertimbangan baginda sebagai mercu keihsanan.

“Kita faham orang mempunyai pandangan kuat dan tegas. Jadi, kita beri laluan sedikit tetapi selepas penjelasan dibuat, ia harus dihentikan.

“Yang di-Pertuan Agong memutuskan keputusannya itu muktamad atas pertimbangan yang besar, bukan undang-undang.

“Kerana itu, proses kehakiman dan pertimbangan utama adalah soal ihsan.

“Jadi, sama ada Yang di-Pertuan Agong memilih untuk beri penjelasan atau tidak, itu wewenang tuanku,” katanya.

Anwar berkata demikian pagi ini ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Sesungguhnya, sampai bila kita mahu berdebat dan berlawan hujah mengenai isu ini, sedangkan keputusan Lembaga Pengampunan adalah muktamad sebagai ihsan baginda serta tidak boleh pun dicabar di mahkamah?

Maka, permintaan Perdana Menteri dalam hal ini amat-amat wajar diberi perhatian oleh semua, tidak kira daripada blok mana sekali pun, agar kita tidak terus melakukan kerja sia-sia dan membazir masa.

Wajar untuk kita semua kembali fokus kepada tugas dan kerja masing-masing yang lebih mustahak demi negara ini.

Beringat-beringatlah,. lebih buruk lagi sekiranya dalam memberi pandangan, berdebat dan berlawan hujah itu, ia akhirnya tergelincir sehingga terlihat menderhaka pula kepada Raja.

Jadi, sekali lagi, marilah kita sama-sama mematuhi permintaan Perdana Menteri ini.


Penulis juga Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *