Oleh Mohd Khairool Ngadon
(Ulasan PRK Kemaman)
Tahniah kepada Menteri Besar Terengganu, YAB Datuk Seri Samsuri Mokhtar daripada PAS yang telah memenangi Pilihan Raya Kecil Kemaman semalam dengan majoriti sebanyak 37,220 undi menewaskan calon dari Barisan Nasional, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohd Affendi.
Pilihan raya kecil Kemaman diadakan selepas mahkamah mendapati penyandangnya menggunakan elemen rasuah ketika berkempen pada pilihan raya umum yang lalu.
Cuaca sejuk membantutkan sedikit kehangatan suasana kempen kali ini atau mungkin kebanyakan jentera berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi banjir yang dijangka berlaku dalam masa terdekat. Suhu kempen meningkat panas pada 24 jam terakhir selepas pertembungan jentera PAS dan BN bertembung di “flashmob” di Bandar Kemaman.
PAS berbangga dengan mengumumkan jumlah majoriti sebanyak 37,220 ketimbang 27,179 majoriti yang diperolehi pada pilihan raya umum ke-15 yang lalu. Namun sebenarnya jumlah keseluruhan undi yang diperolehi sedikit merosot. Jumlah keseluruhan undi yang diperolehi PAS adalah sebanyak 65,714 undi pada pilihan raya umum ke-15 yang diwakili oleh Ustaz Che Alias Hamid. PAS meletakkan calon yang merupakan Menteri Besar Negeri Terengganu pada pilihan raya kecil Kemaman dengan memperoleh sebanyak 64,998 undi. Merosot sebanyak 716 undi.
Manakala jumlah undi Barisan Nasional merosot dengan jurang yang sangat besar dengan memperoleh 27,778 undi berbanding 38,535 undi dan menjadikan penyusutan sebanyak 10,575 undi.
Senario ini menunjukkan pengundi BN tidak beralih kepada PAS akan tetapi jumlah “pengundi putih” dari BN dan PH yang keluar mengundi tidak begitu baik. Sekiranya ada pendapat yang mengatakan sokongan kepada PAS melalui gelombang hijau itu tidak begitu tepat kerana jumlah keseluruhan undi PAS tidak meningkat berbanding pilihan raya umum yang lalu.
Ada pendapat mengatakan bahawa orang Kemaman tidak kisah kerana penyandang ahli parlimen Kemaman sebelum ini terlucut kerana kesalahan rasuah, yang penting parti Islam memerintah.
Keluar mengundi adalah tanggungjawab dan disiplin setiap rakyat Malaysia yang layak untuk mengundi. Semua pimpinan dan pendokong parti dalam Kerajaan Perpaduan seharusnya bergandingan tangan dan bahu dalam mencorak naratif dalam membentuk kesepakatan ketika berkempen.
Melepasi satu tahun Kerajaan Perpaduan mentadbir negara, sepatutnya sudah ada ‘modal’ terbaik yang boleh dijual kepada pengundi dalam meraih sokongan.