Oleh Noraini Nordin
(Analisa PRK Kemaman)
Kemenangan Pas dalam PRK Kemaman semalam, bahkan dengan majoriti lebih besar berbanding PRU15 lalu, secara umumnya membawa mesej yang pelbagai kepada masa depan politik Malaysia.
Bagaimanapun, kemenangan Pas melalui Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terenggganu sebagai calon, dengan majoriti 37,220 undi berbanding 27,179 pada PRU15 lalu, mesej utamanya ialah ia merupakan pukulan kepada Bersatu, salah satu komponen yang selama ini selalu menggambarkan diri mereka sebagai “abang besar” dalam PN.
Dalam PRK Kemaman ini, Pas bukan sahaja menang dengan majoriti lebih besar melalui calonnya yang dilihat lebih diterima dan disenangi, bahkan bersama gambaran bahawa Ahmad Samsuri adalah calon Perdana Menteri selepas ini.
Ini bermakna, majoriti besar yang diraih oleh Ahmad Samsuri juga bermakna suatu “penerimaan” penyokongnya kepada keinginan untuk melihat beliau menjadi Perdana Menteri, selepas ini atau suatu ketika nanti.
Melihat kepada keterujaan penaksub yang menjaja-jaja secara terbuka Ahmad Samsuri sebagai bakal PM apakah nasib Muhyiddin Yassin.
Dalam keadaan ini, di mana kedudukan Muhyiddin Yassin yang diketahui umum masih mengidam untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua, malah telah membuat “pusingan U” dengan ingin mengekalkan lagi jawatan sebagai Presiden Bersatu pada pemilihan tahun depan.
Kalau bukan untuk jadi Perdana Menteri sekali lagi, untuk apa beliau mahu kekal lagi memimpin Bersatu?
Tetapi, dengan adanya Ahmad Samsuri ini, sediakah Muhyiddin mengundur diri untuk memberi laluan?
Begitu juga dengan Hamzah Zainuddin, Ketua Pembangkang sekarang yang turut dilihat sebagai calon Perdana Menteri kedua bagi blok pembangkang selepas Muhyiddin, apakah beliau juga sedia memberi laluan kepada Ahmad Samsuri?
Dengan kedudukan Pas yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen terbesar dalam PN iaitu 43, logiknya memang wajar parti itu mempertaruhkan calon Perdana Menterinya dalam PRU16 akan datang dan bukan lagi sebagai penumpang.
Berbanding Bersatu yang sebelum ini mempunyai 31 Ahli Parlimen, tetapi setelah lima daripadanya telah mengalihkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jumlahnya kini makin berkurangan dengan hanya tinggal 26 sahaja.
Sementara Bersatu makin mengecil, Pas sebaliknya seperti mendapat laba besar dengan menonjolkan Ahmad Samsuri sebagai calon Perdana Menteri melalui PRK Kemaman semalam.
Berdasarkan kenyataan terbaru Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hasan yang menyebut, parti itu kini sedia memikul tanggungjawab lebih besar di peringkat nasional berikutan kemenangan Ahmad Samsuri, ini adalah petanda jelas, sekaligus suatu isyarat buruk buat Bersatu, Muhyiddin dan juga Hamzah.
Nampaknya Pas tidak mahu menoleh ke belakang lagi, sebaliknya ingin terus mara dengan agendanya, sambil berharap agar Muhyiddin dan Hamzah tidak sukar memahaminya.
Melihat semua perkembangan ini, Bersatu memang tiada pilihan lain kecuali terpaksa akur untuk menyerahkan “baton” calon Perdana Menteri kepada Pas dalam PRU16 akan datang.
Lagi pun, apa pilihan yang Bersatu ada, ia adalah parti yang tiada akar umbi, malah jumlah cawangan di bahagian-bahagian juga amat terbatas sekali.
Semua kemenangan calon Bersatu pada PRU15 lalu, terutamanya dari segi kempen dan penyediaan jentera parti, adalah dengan menumpang dan melalui sumbangan kekuatan yang dimiliki Pas.
Bermula di Kemaman dan dijangka berterusan sehingga PRU16 akan datang, Pas diramal akan terus ke depan dengan agenda untuk memimpin negara, sementara Bersatu secara perlahan-lahan bakal dimendungi gerhana.