Kongres Nasional KEADILAN – Semangat reformasi kekal menyengat,pulang dengan semangat

Oleh Noraini Nordin

Kongres Nasional KEADILAN sudah menutup tirainya semalam dan semua perwakilan serta pemerhati pun barangkali sudah kembali ke kampung halaman masing-masing.

Apa yang jelas kongres tahun ini agak istimewa kerana ia diadakan ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijulang selama lebih 25 tahun untuk menyelamatkan negara sudah setahun berada di kerusi Perdana Menteri yang menjadi idaman kebanyakan pemimpin politik.

Di waktu yang sama, Kongres KEADILAN tahun ini juga diadakan serentak dengan genap setahun setelah Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.

Mewarnai semua itu, kongres kali ini sudah tentu berbeza dari segi semangat, keghairahan, malah gaya dan cara berjalan semua yang hadir ke PICC di Putrajaya.

Lebih lima ribu bersama untuk ‘ membiru mudakan ‘ PICC . Sesuai dengan tema –
Memaknai Reformasi Menjulang Madani.

Wajah-wajah ceria, langkah yang penuh bersemangat dan sapa menyapa yang cukup ramah sesama rakan sepejuangan yang menghadiri kongres besar ini.

Yang bergelar Menteri, Timbalan Menteri yang dahulu sebelum meraih kedudukan tersebut datang bersendiri kini diiringi ‘rombongan’.
Begitu juga ADUN atau Exco dari negeri-negeri.

Kongres kali ini juga dibanjiri dengan tetamu-tetamu hebat khasnya duta-duta asing dan juga pimpinan utama parti Kerajaan Perpaduan.

Lebih 300 media dalam dan luar negara turut ‘berkampung‘ untuk membuat liputan kongres yang berlangsung selama dua hari ini.

Semua perbezaan itu ialah kerana dahulu kongres diadakan ketika KEADILAN menjadi pembangkang, tetapi kini sudah menjadi kerajaan dan ketika Anwar pula menjadi ketua kerajaan.

Dahulu barangkali perasaan menjadi kerajaan itu hanya dirasai oleh perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO sahaja, namun kini ia berpindah milik menjadi pinjaman kepada KEADILAN pula.

Apa pun, meneliti sepanjang dua hari Kongres Nasional KEADILAN yang diadakan, walaupun ada terselit sedikit sebanyak yang berubah di sana sini, di samping ternampak juga keghairahan untuk memuji-muji Perdana Menteri sebagaimana dahulunya itulah kebiasaan dalam UMNO, secara umumnya jiwa-jiwa yang hadir masih kekal dengan semangat reformasi.

Daripada Anwar, pimpinan utama parti, perwakilan yang menyampaikan ucapan dan pemerhati yang terdiri daripada akar umbi parti seluruh negara, keinginan untuk menyelamatkan negara tidak pernah tersasar daripada matlamat perjuangan yang sekian lama disemat dijiwa mereka.

Mereka yang hadir rata-ratanya masih tidak lupa bahawa negara ini perlu kepada reformasi yang menyeluruh agar menjadi negara yang benar-benar damai dan sejahtera untuk didiami oleh generasi pewaris seterusnya.

Cuma, sebagaimana disebut Anwar dalam ucapannya, reformasi itu tidak boleh dilakukan secara gopoh dan semata-mata untuk memenuhi janji yang diungkap ketika pilihan raya.

Hakikatnya, bila jadi kerajaan ada proses tertentu yang perlu dilalui terlebih dahulu sebelum mahu melakukan apa juga perubahan atau reformasi.

Perubahan bukan boleh dilakukan begitu sahaja seperti kita ingin makan ‘mee segera‘ yang boleh disiapkan dengan mudah dalam masa lebih kurang dua minit.

Setelah setahun berlalu sebagai kerajaan ini, semakin ramai yang faham hakikat tersebut.

Pimpinan yang ada jawatan pula ketika berucap jelas masih mengutamakan untuk memberi yang lebih baik kepada rakyat melalui kementerian-kementerian di mana mereka berperanan.

Harap-harap semua yang diperlihatkan di kongres tahun pertama KEADILAN menjadi kerajaan ini akan kekal sampai bila-bila menjadi pembangkang atau menjadi kerajaan jiwa perjuangan untuk menyelamatkan negara perlu kekal subur dalam diri mereka.

Selagi jiwa reformasi kekal ada, selagi itulah keinginan melakukan perubahan tidak pernah padam.

Ternyata semangat reformasi kekal menyengat , yang pulang penuh semangat.

Akhirnya, diharapkan semua daripada kita tidak pernah lalai dan leka dengan kuasa.

Semoga Allah s.w.t meminjamkan kuasa untuk Anwar Ibrahim menerajui negara selagi beliau masih sihat . Semoga KEADILAN terus teguh dan generasi pewaris parti ini dapat menerajui kerajaan serta terus kukuh berjuang untuk rakyat.


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Wanita Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *