Wanita KEADILAN perlu lebih aktif sampaikan mesej Malaysia Madani – Juwairiya

Oleh Noraini Nordin

Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Pusat , Juwairiya Zulkifli berkata, sesuai dengan tema Kongres Nasional KEADILAN kali ini yang cukup bermakna – Memaknai Reformasi, Menjulang Madani – ianya tidak cukup jika sekadar hanya ditutur dan dibahas di dalam dewan sahaja.

Sebaliknya, tegas beliau, ia harus diterjemah kepada tindakan dan dasar di setiap peringkat masyarakat. Reformasi harus diterjemah dengan lebih jelas dan meyakinkan.

“Reformasi untuk membina negara bangsa yang makmur dan madani harus dizahirkan dengan lebih mendasar ke akar umbi agar ianya dirasai oleh segenap lapisan masyarakat” ujar beliau ketika berucap di penggulungan Kongres Nasional Tahunan Wanita kali ke 17 , di PICC, Putrajaya , Sabtu lalu.

Dalam proses itu, menurut Juwairiya lagi Wanita KEADILAN harus bertindak sebagai tunjang yang menyokong perjuangan dan menjadi sebahagian daripada rakan kongsi bagi menjayakan agenda reformasi.

Ujar beliau lagi, wanita malah senantiasa bersedia bekerja dengan lebih efisyen dan tangkas dalam menangkis fitnah serta cabaran oleh pihak musuh yang dilihat cukup gemar melemparkan fitnah, adu domba, melahirkan sifat benci dalam kalangan masyarakat terhadap Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Juwairiya turut menyarankan Wanita KEADILAN harus lebih aktif menggerakkan masyarakat dengan aktiviti dan program-program penerangan untuk menjelaskan maksud serta hasrat Malaysia Madani.

“Pelbagai inisiatif dan program rakyat telah diumumkan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah, demi menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup mereka,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru wanita-wanita hebat di luar sana untuk bersama-sama dengan KEADILAN bagi memperkukuh Kerajaan Perpaduan dan mengangkat martabat Wanita.

Tegas beliau lagi, mereka harus bersama dengan KEADILAN kerana ia merupakan sebuah parti yang membuka ruang dan peluang kepada semua, baik anak muda, mahasiswa, wanita bekerjaya mahupun aktivis yang cintakan keadilan dan perpaduan.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *