

Oleh Noraini Nordin
Sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi terhadap usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memerangi rasuah, Naib Ketua Wanita KEADILAN, Datin Faizah Ariffin memberi amaran untuk ‘mencampak’ mana-mana pemimpin wanita dalam parti itu yang terlibat dengan amalan rasuah.
Katanya, mana-mana pemimpin yang diangkat dan diberi jawatan selepas PKR dan PH berjaya membentuk kerajaan, perlu menggalas amanah itu dengan jujur serta ikhlas dan menjauhkan diri daripada terbabit dengan rasuah.
“Menjauhi amalan rasuah bukan sahaja kerana ia amalan yang ditegah agama, tetapi juga sebagai tanda Wanita KEADILAN sentiasa bersama Perdana Menteri memerangi amalan terkutuk itu,” tegasnya.

Di waktu yang sama, Datin Faizah juga mengingatkan, walaupun kini kita ada ramai kawan dalam kerajaan, tetapi jangan sesekali mengemis meminta itu dan ini daripada mereka.
Sebaliknya, kata beliau, Wanita KEADILAN hendaklah bijak dan mempunyai keupayaan mencipta sendiri peluang ekonomi yang sebenarnya banyak sedang terbentang.
“Banyak peluang boleh dicipta melalui perniagaan dan bantuan juga, khususnya melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), sentiasa tersedia,” ujarnya ketika berucap di penggulungan Kongres Wanita KEADILAN , Sabtu lalu.
Dalam pada itu, Datin Faizah berkata, Wanita KEADILAN turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada UMNO kerana membantu mengangkat Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan.


Menurut beliau, disebabkan UMNO dan BN sedia memberi sokongan kepada Anwar itulah yang juga Presiden PKR dan Pengerusi PH itu kini mampu membuktikan kemampuannya dalam mentadbir negara.
“UMNO kini diakui menjadi parti paling akrab kepada Keadilan melalui kerjasama dalam kerajaan, walhal telah bermusuhan selama lebih 20 tahun sebelum ini.
“Daripada seteru utama, BN hari ini menjadi sahabat kita yang paling akrab dan kerana sokongan UMNOlah yang menjadi penyebab utama Anwar boleh diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10.
“Terima kasih tak terhingga kepada UMNO, kalau bukan kerana UMNO dan BN, kepemimpinan Anwar tidak dapat dibuktikan untuk negara,” tegas Datin Faizah lagi.