Suara wanita perlu lebih ramai di DUN, Parlimen – Fadhlina

Oleh Noraini Nordin

Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek berkata, meningkatkan wakil wanita di Parlimen dan Dun akan menjadi agenda pemberdayaan utama sayap parti itu.

Katanya, walaupun terdapat banyak inisiatif bagi meningkatkan agenda 30% perwakilan wanita yang ingin dicapai itu, tetapi ada banyak faktor yang masih menyebabkan kekurangan terus berlaku.

Menurut beliau, representasi yang diperjuangkan itu bermakna suara dan perwakilan adalah penting dalam menentukan dasar dan polisi yang lebih baik untuk melindungi wanita, kanak-kanak, warga emas.

“Pimpinan parti harus terus komited untuk memastikan representasi Wanita Keadilan dalam setiap kerusi pilihanraya.

“Ia mesti diterjemahkan sebagai iltizam representasi dan suara wanita yang mewakili separuh populasi rakyat Malaysia,” tegasnya ketika menyampaikan ucapan dasar di Kongres Wanita KEADILAN

Dalam hal berkaitan, Fadhlina memuji dan mengucapkan tahniah kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminudin Harun kerana berjaya mengangkat dua nama wanita sebagai calon dalam PRN yang lalu.

Katanya, kedua-dua calon Wanita KEADILAN itu bukan saja menang di kawasan masing-masing, bahkan kemudian diperanankan pula sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO).

Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan menegaskan, bagi tujuan tersebut, mulai tahun hadapan, siri Wanita Akar Rumput Madani (WARM) dan Run To Win (R2W) akan menjadi program berkala untuk semua wanita, manakala program BMW (Bakul Makanan Wanita), Kasih Keluarga Madani (KKM), Wanita KEADILAN #sayangi diri dan #MadaniBelajar akan diperhebatkan lagi.

“Hanya dengan kemampuan meletakkan representasi gender yang adil dan saksama, maka isu-isu  seperti keganasan rumahtangga, gangguan seksual, kesihatan mental, penuaan bermaruah, kesihatan keluarga, partipasi dalam ekonomi dan tenaga kerja negara dan pembangunan keluarga dapat diperjuangkan dengan lebih efektif.

“Isu pembangunan keluarga ini adalah isu yang sangat mustahak,” tambah beliau.

Begitu pun, beliau agak kesal kerana masih ada Ahli Parlimen yang sepatutnya menggunakan platform dewan yang mulia untuk menajamkan dasar dan polisi, tapi menyempitkannya dengan isu remeh seperti naratif berapa orang bini dan sebagainya.

“Akhirnya tumpul perbahasan seolah-olah sudah ketandusan isu penting berkaitan kerajaan yang hendak dimainkan.

“Nak persoal masalah korupsi dan tata kelola? Tiada. Nak persoal tentang scheme of things? Tiada,” luahnya dengan nada kesal.

Atas sebab itu, tegas Fadhlina lagi, adalah penting untuk Wanita KEADILAN terus konsisten dalam memperjuangkan hak wanita dalam isu keganasan rumahtangga, perlindungan kanak-kanak, kewarganegaraan anak yang ibunya adalah warganegara Malaysia, advokasi berkaitan gangguan seksual dan pemberdayaan wanita dalam pembinaan negara.

Dalam ucapan dasarnya, Fadhlina juga menggariskan beberapa isu lain yang perlu diperjuangkan oleh Wanita KEADILAN, antaranya:-

  • Memartabatkan Mahkamah Syariah dengan memperkukuh bidang kuasa, reformasi tata cara sivil/jenayah syariah serta menambah baik dan perluasan hukuman di Mahkamah Syariah bagi memastikan keadilan untuk pihak-pihak dan syariat Islam terus diperkasakan.
  • Memperluaskan akses pendidikan serta meningkatkan kualiti pendidikan negara menerusi pemerkasaan Bahasa Melayu dan memperkukuh Bahasa Inggeris serta kemahiran pendidikan TVET.
  • Memperkukuh sistem dan akses kesihatan untuk golongan rentan serta kesihatan mental serta saringan kesihatan khusus untuk wanita.
  • Memperkasa polisi Negara Tua 2030 dan advokasi hak asasi warga emas.
  • Memperluas bidang pekerja sosial dan pekerja komuniti demi meningkatkan tenaga buruh khususnya dalam sektor “care economy”.
  • Menjamin perlindungan, pembelaan undang-undang, advokasi dan hak ke atas mangsa /saksi rentan (wanita dan kanak-kanak) di dalam kes keganasan seksual dalam konteks “court support”semasa prosiding mahkamah berlangsung.

Tamat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *