Oleh Noraini Nordin
Parti Keadilan Rakyat akan menganjurkan Kongres Nasional Tahunan Keadilan 2023 pada 25 dan 26 November 2023 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya.
Mengumumkan perkara itu, Setiausaha Agung Keadilan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, acara tahunan itu akan dimulakan dengan Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Kongres Nasional Wanita Keadilan yang akan diadakan pada 25 November.
Katanya, Kongres Nasional AMK dan Wanita akan diadakan serentak di dewan berasingan di PICC bermula dari jam 8:00 pagi sehingga jam 6:30 petang.
Saifuddin berkata, pada sebelah malamnya iaitu bermula jam 9:00 malam, Kongres Nasional Keadilan peringkat pusat akan dibuka dengan ucapan dasar oleh Presiden, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sekaligus merasmikan kongres tersebut.
“Tahun ini adalah kongres tahunan yang pertama yang akan dihadiri oleh perwakilan dari seluruh negara
selepas setahun Keadilan bersama-sama parti-parti lain dalam gabungan Kerajaan Perpaduan” ujarnya dalam satu kenyataan.
Untuk kali ini, menurut Saifuddin, seramai 2,374 orang perwakilan dan 1,500 pemerhati dari Sabah hingga Perlis dijangka akan hadir untuk memeriahkan acara tahunan parti itu.
Beliau juga memaklumkan tema kongres tahun ini ialah “MEMAKNAI REFORMASI, MENJULANG MADANI”.
“Dengan tema tersebut, isu-isu terkait kemakmuran ekonomi, kebajikan dan keadilan sosial, tatakelola pentadbiran yang baik dan kestabilan politik akan
menjadi tumpuan utama dalam perbahasan yang akan disampaikan oleh para pembahas.
“Selain itu isu utama berhubung kos sara hidup, isu perpaduan dan 3R, isu rasuah dan penyelewengan kuasa turut menjadi antara topik yang akan dipilih oleh para pembahas,” jelas Saifuddin lagi.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan, pembahas akan diberi kebebasan untuk berbahas, memberikan nasihat, mengkritik serta melontarkan idea kepada barisan pimpinan parti.
“Semua pandangan itu kemudiannya pasti akan dijadikan panduan dan iltizam pimpinan ke arah yang lebih baik,” tambahnya.
Menurut Saifuddin, selain kongres tahun ini akan dihadiri pimpinan utama daripada parti-parti gabungan kerajaan perpaduan, turut hadir ialah 50 jemputan daripada kedutaan-kedutaan asing.
Dalam waktu yang sama, kata beliau, Kongres Keadilan tahun ini juga akan membuat penegasan mesej dan pendirian parti berkaitan isu kemanusiaan sejak meletusnya konflik perang antara Palestin dan Israel.
“Kongres Keadilan tahun ini akan turut mengadakan slot khas pada 25 November untuk memperingati mangsa-mangsa kekejaman Israel,” jelas Saifuddin.