Pengguna jalanraya akan menikmati tol percuma di semua lebuh raya selama dua hari bermula tengah malam ini sehingga 12 November sempena perayaan Deepavali, kata Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi.
Dalam kenyataan medianya, beliau berkata, tol percuma selama dua hari itu melibatkan semua jenis kenderaan di semua lebuh raya, kecuali dua plaza tol di sempadan negara iaitu Plaza Tol Bangunan Iskandar dan Plaza Tol Tanjung Kupang di Johor.
“Selaras dengan semangat perpaduan Malaysia Madani, kerajaan melalui mesyuarat jemaaah menteri pada 18 Jan 2023 telah bersetuju untuk memberi tol percuma selama dua hari kepada para pengguna lebuh raya negara ini bersempena sambutan Deepavali yang akan disambut pada 12 Nov.
“Pemberian tol percuma itu akan bermula pada 11 Nov (Sabtu) jam 12.01 pagi sehingga 12 Nov (Ahad) jam 11.59 malam.
“Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan semua rakyat Malaysia terutamanya masyarakat India beragama Hindu yang akan menyambut perayaan Deepavali,” katanya lagi.
Menurut beliau, pemilihan tarikh itu bertujuan untuk mengelakkan kesesakan pada hari pulang ke kampung halaman dan kembali ke bandar serta untuk mengoptimumkan pengoperasian logistik seperti kawalan trafik, sumber air tambahan dan penyediaan tandas di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan rehat dan rawat (R&R).
Dalam perkembangan berkaitan, Alexander Nanta Linggi menganggarkan jumlah trafik pada dua hari tersebut akan mencecah 11.8 juta buah kenderaan.
“Dengan pelaksanaan tol percuma ini, diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini selain merancang perjalanan dengan sebaiknya,” tambahnya.
Beliau mengingatkan pengguna jalan raya agar mematuhi semua aspek keselamatan dan mengamalkan pemanduan selamat supaya mereka dapat tiba ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan
Deepavali ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta.