Oleh Noraini Nordin
Malaysia terus mencipta kejayaan selepas menang lagi di Mahkamah Perancis dalam kes tuntutan Kumpulan Sulu, sekali gus mematikan gerakan mereka untuk merampas aset diplomatik milik kerajaan Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pada 6 Nov lepas, Mahkamah Perancis telah membatalkan perintah bagi gadai janji berkanun yang dibuat terhadap bangunan diplomatik Malaysia di Paris oleh penuntut warga Filipina (Kumpulan Sulu).
Beliau berkata, mahkamah yang sama juga telah merekod penarikan balik oleh pihak penuntut warga Filipina bagi prosiding rampasan aset terhadap bangunan diplomatik milik kerajaan Malaysia yang sama.
“Kesimpulannya keputusan pada 6 dan 9 Nov itu membolehkan keputusan membebaskan kerajaan Malaysia daripada cubaan tidak sah oleh warganegara Filipina itu untuk merampas aset diplomatik Malaysia di Perancis secara menyeluruh.
“Keputusan pada 6 dan 9 Nov itu juga mematikan gerakan warga Filipina terbabit untuk merampas aset diplomatik kerajaan Malaysia di Paris.
“Kerajaan Malaysia sentiasa akan memastikan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara secara menyeluruh dilindungi setiap masa oleh kerajaan Perpaduan MADANI.
“Mereka gagal dalam menyentuh hak milik harta Malaysia dan kita tidak boleh sama sekali bertolak ansur ke atas tuntutan tidak sah ini,” katanya ketika temu ramah bersama media yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini.
Azalina yang kini berada di London, untuk fasa ketiga tuntutan lapan individu yang mengaku sebagai waris Kesultanan Sulu, bagi berjumpa dengan peguam-peguam lantikan kerajaan untuk menangani tuntutan mereka itu.
Selanjutnya Azalina berkata, selaras dengan perkembangan ini, Kerajaan Malaysia yakin bahawa pembatalan muktamad anugerah akhir yang dikatakan oleh Mahkamah Rayuan Paris itu hanyalah menunggu masa, dan kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan keputusan itu secepat mungkin.
Sementara itu Azalina dalam kenyataan yang sama berkata, kemenangan Malaysia pada 6 Jun kepas dalam rayuan terhadap pelaksanaan apa yang dipanggil award separa mengenai bidang kuasa, membawa kepada penarikan balik langkah-langkah yang didaftarkan oleh Kesultanan Sulu (‘Pihak Menuntut’) yang telah lama tidak berfungsi terhadap bangunan diplomatik milik Malaysia di Paris, Perancis.
Katanya, Malaysia telah mencabar langkah-langkah itu atas alasan imuniti, khususnya imuniti premis diplomatiknya seperti yang diiktiraf di bawah Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.
“Pada 6 November 2023, hakim penguatkuasa Paris membatalkan perintah ex parte terdahulunya yang membenarkan gadai janji berkanun didaftarkan di tiga bangunan diplomatik milik Malaysia di Paris.
“Hakim menetapkan ia tidak mempunyai kuasa untuk membenarkan langkah sedemikian dan mengarahkan Pihak Menuntut membayar 15,000 euro kepada Malaysia sebagai kos,” jelasnya.
Azalina berkata, Pihak Menuntut mengesahkan bahawa mereka kini akan mengeluarkan gadai janji berkanun dan perintah kos itu adalah tambahan kepada perintah kos kesan buruk 100,000 euro yang dikeluarkan oleh Mahkamah Rayuan Paris dalam keputusan 6 Jun yang memihak kepada Malaysia, yang telah menolak pengiktirafan anugerah separa bertarikh 25 Mei 2020 di Perancis.
Beliau berkata, Malaysia sedang mengambil langkah yang perlu untuk memastikan kos kesan buruk itu juga dibayar secepat mungkin oleh Pihak Menuntut atau pembiaya litigasi mereka, Therium.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat