(Petikan FB Anwar Ibrahim: Berita/Foto)
Dalam sidang media bersama PM Lee di Istana hari ini, saya zahirkan penghargaan dan keterujaan terhadap hasil keseluruhan Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura kali ini yang mengukuhkan persahabatan kedua-dua negara.
Permukiman ini berjaya mencapai kemajuan penting dalam usaha merungkai beberapa isu tertunggak antara kedua-dua negara, antaranya persefahaman awal untuk kedua-dua negara meneliti soal kawalan ruang udara di selatan Malaysia. Ini adalah satu pencapaian luar biasa dalam hubungan dua hala Malaysia-Singapura.
Terkait isu perjanjian bekalan air dengan Singapura, saya tegaskan rundingan kedua-dua negara perlu dilihat secara lebih luas dan tidak tertumpu pada harga jualan air semata-mata, tetapi juga peranan Singapura dalam meningkatkan kapasiti pengeluaran air Sungai Johor bersama-sama kerajaan negeri.
Saya turut zahirkan komitmen Malaysia untuk membekalkan tenaga boleh baharu menerusi eksport dari Sarawak, yang membantu Singapura dan menguntungkan Malaysia.
Berhubung persempadanan Batu Puteh, saya menyatakan Peguam Negara dari kedua-dua belah pihak perlu memulakan perbincangan untuk memuktamadkan rundingan secepat mungkin.
Saya dan PM Lee juga sempat menyaksikan pemeteraian surat sampingan bagi Perjanjian bagi Tabung Pembangunan Perniagaan Negara Ketiga Malaysia-Singapura (MSBDF) dan memorandum persefahaman (MoU) antara SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Enterprise Singapore (ESG).
Secara keseluruhan, permukiman ini membuktikan Malaysia dan Singapura berupaya merungkai sebarang pertikaian dalam semangat persahabatan, mencapai penyelesaian menang-menang.
– Anwar Ibrahim –
#MalaysiaMADANI