Subsidi ayam tamat Rabu ini, harga dijamin tidak naik

Oleh Noraini Nordin

Selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa, kerajaan bersetuju agar subsidi dan kawalan harga bagi ayam ditamatkan berkuat kuasa 1 November ini.

Namun demikian, bagi subsidi untuk telur gred A, B, C, kerajaan bersetuju ia diteruskan mengikut mekanisme sedia ada.

“Sejak Februari 2022, Kerajaan menanggung RM3.8 bilion untuk subsidi telur serta ayam dan rasional penamatan subsidi secara pukal ini adalah bertujuan mengurangkan ketirisan subsidi di mana pada ketika ini ia turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi,” kata kenyataan media Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Kementerian itu memberitahu, penamatan subsidi ayam ini telah mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran yang mula stabil dan harga pasarannya yang kini di bawah harga siling.

“ Kerajaan akan memastikan harga jualan ayam yang diapungkan nanti terus berada pada kadar yang munasabah” jelas kenyataan itu lagi.

Di samping itu, menurut kenyataan itu lagi, melalui sesi libat urus bersama pemain industri pada 22 Oktober 2023 lalu, kerajaan turut mendapat komitmen daripada pihak industri supaya harga ayam di ladang yang dikeluarkan tidak mencatatkan kenaikan yang ketara sehingga membebankan pengguna.

Dalam masa yang sama, tambah kenyataan tersebut, kerajaan akan meluaskan akses kepada bekalan ayam melalui Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah secara berterusan di seluruh negara bagi memberikan pilihan dan jaminan kepada rakyat untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga yang berpatutan dan di bawah harga siling semasa.

Bagi memastkan harga yang stabil, kerajaan juga bersedia untuk mendapatkan bekalan tambahan daripada sumber luar, jika terdapat kekurangan daripada segi bekalan yang menyebabkan kenaikan harga secara mendadak.

“Kerajaan akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan status bekalan dan harga ayam di ladang berada dalam keadaan stabil dan tidak membebankan rakyat, serta tidak berlaku sebarang aktiviti pencatutan di sepanjang rantaian bekalan,” ujar kenyataan itu lagi.

Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan akan terus memberi tumpuan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif daripada segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil serta sederhana dan skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komunit, selain program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayam tertutup.

“Langkah ini akan memberi peningkatan daripada segi akses kepada bekalan secara terus daripada penternak komuniti kepada pemborong-pemborong di pasaran,” kata kenyataan tersebut.


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *