Oleh Noraini Nordin
Berikutan tularnya sebuah video kontroversi mengenai sambutan solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin anjuran sebuah sekolah yang tiada kaitan dengan Minggu Solidariti Palestin anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ada pihak tampil mendesak agar program tersebut dikaji semula.
Minggu Solidariti Palestin yang disarankan oleh KPM agar semua institusi pendidikan di bawahnya menganjurkannya hanya bermula hari ini. 29 Oktober hingga 3 November, tetapi program yang dilaksanakan sekolah berkenaan diadakan pada minggu lalu lagi.
Bermula dengan DAP yang membuat gesaan kajian semula itu melalui Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, seterusnya sekumpulan 12 Ahli Parlimen dan Adun PKR juga mahu kajian sedemikian dilakukan.
Ertinya, kelompok daripada parti dalam kerajaan sendiri yang mahu kajian semula itu.
Soalnya, perlukah KPM mengkajinya semula?
Haruskah juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengalah dan tunduk kepada segala gesaan itu?
Kalau kita lihat, sejak awal lagi ditegaskan, baik melalui kenyataan media KPM atau Fadhlina sendiri, Minggu Solidariti Palestin itu diadakan adalah bertujuan untuk mendidik murid-murid dengan nilai kemanusiaan, merangkumi hak asasi manusia, keamanan keharmonian dan kedamaian sejagat.
Aktiviti yang digalakkan sebagai pengisiannya ialah seperti sayembara puisi, pertandingan melukis poster bertemakan kedamaian serta munajat dan sembahyang hajat bagi murid beragama Islam.
Dengan itu, Minggu Solidariti Palestin ini , jika difahami adalah berniat murni dan bermatlamat suci iaitu mendidik serta memberi kefahaman kepada generasi pewaris agar membenci perang dan menjauhi keganasan.
Ia adalah sebagai bekalan agar apabila mereka dewasa nanti menjadi manusia yang penuh dengan sifat manusiawi.
Bersama niat itu, tentulah tidak masuk akal sama sekali sebarang elemen keganasan, radikalisme dan ektremisme ditonjolkan dalam apa juga pengisian atau penganjurannya.
Hakikatnya, program dalam video yang tular itu, meskipun diadakan di sebuah sekolah, tetapi ia bukanlah sebagaimana arahan KPM, jauh sekali mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan KPM.
Lebih buruk, ia juga diadakan sebelum Minggu Solidariti Palestin dimulakan.
Tidak pasti ia idea siapa dan bagaimana ia boleh diadakan, begitu juga tentang bagaimana penggunaan replika senjata boleh diselitkan dalam sambutannya.
Apa akan terjadi jika tiada garis panduan dikeluarkan oleh KPM dan anak-anak terus-terusan melihat video-video keganasan peperangan tanpa bimbingan.
Jika ada panduan anak-anak ini pasti dapat memahami apa yang berlaku dan kekeliruan boleh dielakkan.
Apa yang berlaku tetap telah berlaku dan tidak boleh dipadam begitu saja, tetapi penegasan Fadhlina untuk melakukan siasatan menyeluruh terhadap program tersebut, diikuti dengan tindakan tegas jika terbukti ada kesalahan atau kecuaian, dengan jelas menunjukkan KPM tidak bersikap lepas tangan.
Sebaliknya, tetap berpegang teguh kepada niat suci program itu diadakan dan dalam masa yang sama, tidak berkompromi dengan apa juga unsur provokosi yang cuba ditonjolkan untuk mencemarkan sambutan Minggu Solidariti Palestin berkenaan.
Hakikat ini sudah memadai untuk dijadikan pegangan buat Fadlina dalam kemelut yang sedang berlaku sekarang ini.
Beliau dan KPM tidak harus mengalah dengan sebarang gesaan agar kajian semula dilakukan, apatah lagi membatalkan penganjuran Minggu Solidariti Palestin.
Apa yang perlu dilakukan ialah memantau secara menyeluruh lagi teliti semua program dan pengisiannya agar benar-benar mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
Jadikan apa yang berlaku melalui video yang tersebar sebelum ini sebagai pengajaran dan pemberi semangat untuk melakukan yang lebih baik lagi, bukan saja sebagai tanda sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin, tetapi juga dalam mengisi jiwa murid-murid dengan nilai-nilai manusiawi sejati.
Lagi pula, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri menyambut baik dan menggalakkan program Minggu Solidariti Palestin ini diadakan di sekolah-sekolah.
Beberapa NGO seperti ABIM dan MAPIM juga memberi sokongan yang kuat kepada program tersebut.
Maka, teruslah dengan perjuangan yang telah ditetapkan dan percayalah, lebih besar lagi jumlah yang menyokong berbanding mahu dikaji semula.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat