Oleh Noraini Nordin
Usah membuat andaian atau menyambung fitnah-fitnah buruk berkaitan dengan status kesihatan Menteri Ekonomi Mohd Rafizi Ramli.
Terkini Setiausaha Agung Parti KEADILAN Rakyat Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Rafizi disahkan dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan untuk memasang stent pada jantungnya.
Saifuddin Nasution Ismail memberitahu, berikutan pembedahan yang dijalani Rafizi pada minggu lalu itu, Ahli Parlimen Pandan itu kini sedang berehat.
Katanya, keadaan kesihatan Rafizi itu dimaklumkan kepadanya oleh sumber yang dekat dengan pemimpin nombor dua berkenaan.
“Dia selamat (jalani prosedur stent jantung) dan sekarang berehat,” katanya yang juga Menteri Dalam Negeri kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Jubli Intan 75 Tahun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Putrajaya hari ini.
Sambil mendoakan kesihatan Rafizi, Saifuddin Nasution berkata, beliau percaya Rafizi akan kembali sihat dengan segera selepas menjalani rehat yang cukup.
Pada 21 Okt lepas, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memaklumkan Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR kini dalam keadaan stabil.
Dr Zaliha turut mengesahkan Rafizi dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) selepas dilaporkan mengalami serangan jantung.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat