Garis Panduan Tangani Kes-Kes Gangguan Seksual di Institusi Pendidikan Telah Dikuatkuasakan – Fadhlina

Oleh Noraini Nordin

Sebagai langkah untuk menangani kes-kes gangguan seksual di institusi pendidikan di negara ini, suatu garis panduan berkenaan dengannya telah pun dikuatkuasakan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, garis panduan pengurusan isu salah laku berkaitan gangguan seksual di institusi pendidikan sudah dikuatkuasakan sejak bulan lalu lagi.

Melalui langkah itu, tambahnya, tegas mengikut undang-undang di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) bakal dikuatkuasa sebagai usaha kerajaan melindungi golongan pelajar secara lebih berkesan.

“Kita sememangnya komited dengan kenyataan dan peringatan itu dan di peringkat KPM, kita sudah beri komitmen sepenuhnya (dalam menangani isu gangguan seksual ke atas pelajar).

“Sebab itu saya fikir penting untuk saya memperingatkan bahawa KPM tempoh hari sudah meluncurkan garis panduan pengurusan gangguan seksual di peringkat institusi pendidikan.

“Ini menunjukkan kita memandang serius kes pelajar yang menjadi mangsa penderaan seksual,” katanya lagi pada sidang media selepas melancarkan satu program di Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), di Alor Setar baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina berharap melalui penguatkuasaan garis panduan itu, kes-kes berkaitan salah laku dan gangguan seksual di institusi pendidikan dapat dinoktahkan yang mana yang setiap warga kementerian perlu patuh kepadanya.

“Ini bukan sekadar garis panduan, tetapi menunjukkan keseriusan kita memastikan isu berkait rapat gangguan seksual ini benar-benar ditangani di peringkat KPM.

“Kita berharap seluruh warga KPM memberi komitmen dalam pelaksanaan garis panduan ini bagi memastikan isu ini dapat diselesaikan segera,” tegasnya.


Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *