Oleh Noraini Nordin
Dalam lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mesir baru-baru ini, antara program beliau mengadakan pertemuan dengan Sheikh Al-Azhar, Prof Dr Ahmed Al Tayyeb.
Hasil pertemuan itu, satu berita gembira yang berjaya dimuktamadkan berkaitan kedudukan pelajar Malaysia yang terkandas di negara tersebut.
Hasil perbincangan Anwar dengan Prof Dr Ahmed, masalah yang dihadapi oleh 60 pelajar Malaysia dari Pahang yang sebelum ini tidak dapat meneruskan pengajian di universiti Islam terkemuka itu, akhirnya berjaya diselesaikan.
“Jalur (saluran) yang ditetapkan Universiti Al-Azhar ialah semua urusan harus melalui proses kedutaan.
Oleh kerana ia tidak diikuti, 60 pelajar itu tersangkut.
“Bagaimanapun, saya sudah mengemukakan rayuan dan Sheikh Al-Azhar yang bersetuju supaya 60 anak Pahang itu diurus secepat mungkin dan Rektor Universiti Al-Azhar tadi sudah memberi jaminan.
“Tetapi saya juga beri jaminan kepada mereka (Sheikh Al-Azhar) bahawa hal sebegini tidak akan berlaku lagi, insya-Allah, masa akan datang.
“Semua negeri diharap mematuhi peraturan sedia ada kerana ini syarat ditetapkan Kerajaan Mesir dan Universiti Al-Azhar,” kata Anwar di akhir lawatan kerja seharinya ke Mesir yang berakhir semalam.
Sebelum itu, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di Istana Al-Ittihadiya di Kaherah.
Dalam pertemuan itu, pelbagai perkara dibincangkan dalam konteks merapatkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Mesir dan tidak terkecuali isu berkaitan Palestin.
Menurut Perdana Menteri, beliau amat menyanjung usaha Mesir dalam memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan serta perubatan melalui sempadan Rafah-Gaza agar memastikan ia sampai terus kepada rakyat Palestin.
Anwar memaklumkan, Presiden El-Sisi setuju untuk mengadakan kunjungan rasmi ke Malaysia yang dijangka pada sekitar awal tahun depan.
“Hubungan Malaysia dan Republik Rakyat Mesir mesti terus mekar dan diperkuat demi manfaat rakyat kedua-dua negara,” tegas Anwar lagi.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat