
MIRI, 4 JULAI 2026 – Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian
Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) terus komited
memperkukuh usaha mitigasi banjir menerusi inisiatif pelaksanaan 52
Projek Cakna MADANI iaitu projek low hanging fruits yang dijangka
memberi manfaat segera kepada rakyat di Sarawak dengan peruntukan
sebanyak RM9.46 juta di bawah Rolling Plan 1 (RP1), Rancangan
Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) Tahun 2026.
Daripada jumlah tersebut,
12 projek telah siap, 13 projek sedang dalam pelaksanaan, manakala 27
projek berada di peringkat pra-pelaksanaan.
YAB Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri
merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA),
hari ini telah meninjau pelaksanaan Kerja-Kerja Penstabilan Tebing
Sungai di Tanah Perkuburan Tab Cinaq, Miri, Sarawak, yang merupakan
salah satu Projek Cakna MADANI.
Projek bernilai RM134,682.00 ini telah bermula pada Mei 2026 dan
dijangka siap sepenuhnya pada November 2026. Skop utama projek
melibatkan pembinaan gabion wall sepanjang 50-meter bagi
menstabilkan tebing sungai, mengurangkan hakisan, serta melindungi
infrastruktur dan kawasan tanah perkuburan daripada risiko runtuhan
tebing.
Dalam lawatan yang sama, YAB Timbalan Perdana Menteri turut
mendengar taklimat dan meninjau kemajuan pelaksanaan Projek
Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Miri, Lembangan Sungai Miri,
Sarawak dengan kos projek keseluruhan RM31 juta.
Kerja-kerja fizikal projek telah dimulakan pada Oktober 2023. Sehingga
kini, kemajuan keseluruhan projek telah mencapai 58.11%, dan projek ini
dijangka siap sepenuhnya pada November 2026.
Skop projek RTB Sungai Miri meliputi penyediaan perkhidmatan perunding,
kerja awalan, pengalihan utiliti, pembinaan komponen tebatan banjir seperti
tide wall, kolam takungan, naik taraf sistem saliran, pembinaan rumah pam,
pintu kawalan banjir dan sistem perangkap sampah, selain pemasangan
sistem mekanikal dan elektrikal serta pengurusan projek.
Secara keseluruhannya, Kerajaan Persekutuan melalui PETRA telah
meluluskan pelbagai projek tebatan banjir dengan kos keseluruhan projek
berjumlah RM3.834 billion bagi pelaksanaan 29 projek di Sarawak.
Kerajaan Persekutuan sentiasa bertekad untuk memperkukuh daya tahan
negara terhadap risiko banjir melalui pelaksanaan projek-projek berimpak
tinggi yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, selaras dengan
aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan kemampanan,
kesejahteraan dan penyampaian perkhidmatan yang berkesan.
KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR
4 Julai 2026
