
KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR
(PETRA)
PETRA TELITI BANTAHAN PROJEK TKMS, WAKIL TEKNIKAL DAN
SURUHANJAYA TENAGA TURUN PADANG
PUTRAJAYA, 10 Julai 2026 – Kementerian Peralihan Tenaga dan
Transformasi Air (PETRA) mengambil maklum berhubung bantahan yang
dibangkitkan oleh sebahagian penduduk berkaitan Projek Tenaga
Nasional Berhad (TNB) Kuala Muda Solar (TKMS) di Kuala Muda, Kedah.
YBrs. Puan Mareena Mahpudz, Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga),
PETRA telah menerima memorandum bantahan tersebut sebagai
sebahagian daripada proses penelitian lanjut terhadap isu yang
dikemukakan.
PETRA juga akan menyelaras penghantaran wakil teknikal bersama
Suruhanjaya Tenaga (ST) ke lapangan bagi mendapatkan gambaran
sebenar keadaan di tapak projek serta menilai perkara-perkara yang
dibangkitkan oleh penduduk.
PETRA menghormati hak masyarakat untuk menyuarakan pandangan
dan kebimbangan secara tertib serta mengikut lunas undang-undang.
Pada masa yang sama, sebarang bantahan perlu diteliti secara berfakta,
menyeluruh dan berpandukan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, PETRA akan meneliti asas bantahan yang
dikemukakan, termasuk perkara berkaitan keselamatan, alam sekitar,
impak kepada komuniti setempat dan pematuhan syarat kelulusan projek.
Selaras dengan komitmen Kerajaan menerusi aspirasi Malaysia MADANI,
Kementerian kekal komited untuk memastikan agenda peralihan tenaga
negara dilaksanakan secara mampan, telus dan bertanggungjawab
dengan mengambil kira keseimbangan antara keperluan pembangunan,
pemeliharaan alam sekitar serta kepentingan masyarakat setempat.
KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR
10 Julai 2026
