

Oleh: Sholina Osman
16 MAC 2026
Seorang mekanik berusia 64 tahun di Temerloh terpaksa ‘berputih mata’ setelah rugi RM249,350 akibat terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud “Coin America”.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang telah menerima satu laporan polis dari Daerah Temerloh berhubung seorang mangsa yang terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud melalui penipuan atas talian.
“Pada 22 Jun 2025, mangsa telah menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada dua individu tidak dikenali yang menawarkan peluang pelaburan dalam pembelian “Coin America” serta saham,” kata beliau dalam kenyataan media.
Beliau berkata pelaburan berkenaan kononnya menjanjikan pulangan keuntungan tinggi dalam tempoh yang singkat.
“Mangsa kemudiannya telah diyakinkan untuk membuat beberapa transaksi deposit wang ke akaun bank yang diberikan oleh suspek bagi tujuan pelaburan tersebut,” kata Yahaya.
SEBANYAK ENAM TRANSAKSI
Antara 2 September 2025 hingga 3 November 2025, mangsa telah membuat sebanyak enam transaksi pemindahan wang ke tiga akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM249,350.00 yang melibatkan wang simpanan mangsa.
Selepas semua transaksi dibuat, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan.
Mangsa kemudiannya cuba menghubungi individu berkenaan beberapa kali tetapi gagal sebelum menyedari dirinya telah ditipu.
Yahaya berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
MENDAPATKAN NASIHAT AWAL
Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai dinasihatkan supaya merujuk dan mendapatkan nasihat awal daripada balai polis berdekatan sebelum membuat sebarang pelaburan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997. – JM
