







Oleh: Sholina Osman
3 JUN 2025
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa melakukan pelepasan peserta SEGARUN: Smoking Endgame di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena sambutan World No Tobacco Day 2025 (WNTD 2025).
Acara ini membuka ruang untuk memupuk kesedaran awam tentang pentingnya membuat pilihan gaya hidup sihat serta meningkatkan kepekaan terhadap pengaruh persekitaran, khususnya berkaitan penggunaan tembakau dan produk nikotin.
“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-20 Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) yang menjadi tonggak penting dalam usaha kawalan tembakau di peringkat global,” katanya dalam hantaran di FB.
DASAR KESIHATAN AWAM
Beliau juga menyatakan komitmen Malaysia dalam memperkukuh dasar kesihatan awam kekal utuh, selaras dengan visi Bandar CHASE Wilayah Persekutuan yang menekankan aspek Bandar Sihat (Healthy City) sebagai salah satu teras utama.
“Terima kasih kepada semua agensi, Badan Bukan Kerajaan (NGO), sukarelawan dan peserta yang menjayakan penganjuran SEGARUN 2025,” kata Dr Zaliha.
Beliau berkata, semangat dan penyertaan mencerminkan iltizam bersama dalam membina komuniti yang lebih sihat, aktif dan berdaya tahan. – JM
