






3 JUN 2025
Mural Batik MADANI yang kini menghiasi dinding di Jalan Parlimen telah diiktiraf sebagai mural batik terbesar di Malaysia.
Ia berukuran sepanjang 183 meter, setinggi 6 meter yang meliputi keluasan melebihi 1,100 meter persegi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, projek ini berjaya direalisasikan menerusi kerjasama strategik antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan rakan korporat, Berjaya Group Berhad.
“Hari ini kita menyaksikan satu lagi mercu tanda seni dan perpaduan terlakar di tengah ibu kota,” katanya dalam hantaran di FB.
WAJAH SEBENAR MASYARAKAT
Beliau berkata, lukisan ini mencerminkan wajah sebenar masyarakat kita yang berbilang kaum, bersatu dalam kepelbagaian serta bersama-sama mengangkat seni warisan sebagai lambang kebanggaan negara.
Dr Zaliha berkata, inilah naratif nasional yang dibentuk melalui semangat inklusif dan nilai perpaduan yang kukuh
“Syabas kepada DBKL, para seniman tempatan, rakan korporat dan seluruh komuniti yang menjayakan karya ini,” katanya.
Beliau berkata, Kuala Lumpur bukan sahaja berkembang secara fizikal, tetapi turut subur dengan nilai, budaya dan semangat kebersamaan yang menghidupkan nadi kota. – JM