
Pembangunan bandar pintar di negara ini perlu beralih daripada sekadar memfokuskan kecanggihan infrastruktur teknologi kepada keupayaan mutlak menyelesaikan masalah harian rakyat.
Satu tinjauan sentimen awam terkini mendedahkan bahawa masyarakat meletakkan penanda aras yang jauh lebih praktikal—status sesebuah bandar pintar dinilai berdasarkan impak positifnya terhadap ketenangan minda dan peningkatan kualiti hidup, bukan semata-mata pada jumlah perkakasan yang dipasang.
Tinjauan perspektif awam ini merumuskan empat dapatan dan tuntutan utama rakyat terhadap hala tuju pembangunan bandar pintar:
Peningkatan Kualiti Hidup dan Penyelesaian Kesesakan
Keutamaan tertinggi rakyat di kawasan bandar adalah jaminan kelancaran mobiliti dan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan.
Orang ramai meletakkan harapan yang tinggi agar bandar pintar mampu merungkai masalah kesesakan lalu lintas yang kronik melalui pengurusan trafik masa nyata serta perkhidmatan pengangkutan awam yang responsif.
SUARA KOMUNITI
MOHD FAIZAL NORDIN, 51 TAHUN — GURU, PUTERI WANGSA, JOHOR BAHRU
“Bandar Pintar yang menjadi impian saya mesti mempunyai kemudahan asas yang serba moden, pendigitalan urusan rasmi, sistem aduan kerosakan infrastruktur dan kelulusan tanpa kerenah birokrasi. Paling penting kesesakan jalan raya amat perlu diatasi untuk memastikan komuniti yang menetap di bandar pintar selesa.”
FEERDA KASIM, 48 TAHUN
“Perlu ada cara untuk membantu golongan berpendapatan rendah dan komuniti rentan yang kurang celik IT. Keterangkuman adalah kunci utama bagi memastikan tiada warga bandar yang berasa tersisih di tempat sendiri.”
AKMAL SAFAR, 21 TAHUN — PELAJAR KOLEJ, CYBERJAYA
“Peningkatan mendadak pemasangan CCTV, sistem pengecaman wajah dan pengumpulan data raya menuntut tahap kebertanggungjawaban yang lebih tinggi. Walaupun rakyat secara umumnya menyokong inisiatif keselamatan, ketelusan dan perlindungan privasi adalah prasyarat wajib.”
KELESTARIAN ALAM SEKITAR DAN KESEJAHTERAAN KOMUNITI
Rakyat hari ini semakin cakna terhadap krisis perubahan iklim.
Bandar pintar yang diimpikan mestilah berstatus bandar rendah karbon yang menjunjung prinsip kelestarian hijau. Penderia pintar diharap dapat digunakan secara strategik untuk memantau indeks kebersihan udara dan air secara masa nyata, mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal yang efisien, serta menyelenggarakan ruang rekreasi hijau bagi menjamin kesejahteraan fizikal dan mental komuniti.
