




Oleh : Sahidan Jaafar
2 November 2026
Usaha Portal Suara Keadilan memerangi berita palsu sejak era Reformasi 1998 sehinggalah takdir menyebelahi sosok figura Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 (PMX) merupakan suatu jihad berterusan supaya maklumat dan fakta sebenar yang sengaja dikelabukan selama ini dengan agenda tersembunyi dapat sampai ke pangkuan rakyat dengan selamatnya. Malah sewaktu fasa awal era reformasi 1998, apa saja naratif sebenar mengenai sosok tubuh Anwar Ibrahim sering dimanupulasi atau sengaja diputarbelitkan supaya cerita sebenar dianggap palsu sementara cerita rekayasa dianggap benar.
Suasana ketika perang berita benar vs berita palsu era Reformasi 1998 sehingga ke alaf baru (2000), memang tidak terkawal lagi sehingga bertukar menjadi ‘jungkir balik’ lantaran media mainstream (arus perdana) terikut-ikut menyebar berita palsu!
Perang melawan berita palsu sekaligus melawan media arus perdana ini didedahkan oleh Editor Suara Keadilan, Saudara Rizuan Abdul Rahman mengenai betapa dahsyatnya naratif palsu ini diberi wajah mulus sehingga berita palsu yang sengaja disebar itu nampak seolah-olah benar belaka.
Misalnya, kisah kononnya Anwar didakwa meliwat kes dalam Kes Liwat 1. Sebelum kes dibawa ke mahkamah lagi media arus perdana sudah siar berita palsu itu walaupun kes itu belum dibawa ke mahkamah.
“Jadi waktu itu dah terbalik! Yang benar dianggap palsu, berita palsu dianggap benar! Jadi masyarakat Melayu waktu itu walaupun tak ada internet, percaya bulat-bulat berita palsu yang dibawa oleh akhbar mainstream manakala berita sebenar lagi sahih dibawa oleh blog dan platform media sosial di internet.
“Selepas lima tahun kemudian, selepas Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2004 daripada tuduhan liwat barulah rakyat dapat melihat sendiri berita mana yang paling tepat berkenaan kes tersebut,” cerita Rizuan.
Selepas kebenaran mengenai kes liwat Anwar terserlah maka kaum Cina dan India mula mengalih sokongan kepada Anwar dan Barisan Alternatif pada Pilihan Raya Umum 2008. Pakatan Rakyat pula pula ditubuhkan bersama PKR, PAS dan DAP sehingga dapat memerintah lima buah negeri.
“Cuma tak sangkanya mentaliti percaya berita di internet sebagai betul berterusan sehingga hari ini. Pas yang jadi pembangkang sekarang amat faham kuasa internet, kerana kami sama-sama dulu dalam strategi media.
“Cuma masalahnya berita palsu sekarang di internet memang palsu. Suatu waktu dulu dianggap pemerintah palsu dan kemudian terbukti bukan palsu setelah lima tahun kes Anwar terbukti tidak bersalah oleh Mahkamah Persekutuan!”.
“Terbaru berita QR code, kononnya Bank Negara arah kenakan caj. Berita palsu memang pelik tetapi ramai yang percaya.
Berita palsu di bawah MCMC ada akta yang boleh dikenakan kepada pembuat dan penyebar berita palsu di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Jadi banyak ‘cytro’ di media sosial sekarang sangkut akta ni. Jadi wartawan kenalah berhati hati. Mengapa Suara Keadilan (SK) tak pernah kena caj berita palsu waktu cover kes liwat Anwar?
“Media arus perdana siarkan kes tersebut yang direkayasa oleh kerajaan. Sedangkan Akta 588 ni dah wujud sejak 1998.
“Kerana semua yang didakwa di bawah akta 588 ini akan dibawa ke mahkamah. Tak mungkin mahkamah nak bicarakan sama ada media lapor kes Anwar tu betul atau rekaan. Perbicaraan nanti akan jadi tajuk besar media. Bila ini terjadi akan menyusahkan kerajaan yang memerintah,” cerita Rizuan.
Bagaimanapun menurut Rizuan berita QR kod dikenakan caj penggunaan di media sosial memang palsu kerana Bank Negara tidak pernah keluar kenyataan rasmi mengenai perkara tersebut.
Rizuan berlongsi pengalaman menarik beliau sebagai editor dan sub editor di Suara Keadilan sejak 2000 sehingga sekarang bersama peserta Kursus AI di White House di Jendela Madani, Port Dickson pada 1 November 2026.
“Walaupun kami ‘deal’ dengan berita palsu kes Anwar (dilabel oleh kerajaan) tetapi yg kami siarkan memang benar-benar diambil dari peguam Anwar. Kalau jumpa berita dari individu pun, yang berkaitan kes Anwar kami rujuk peguam beliau terlebih dahulu.
“Jadi fakta yang kami siarkan dari sudut perundangan tepat. Sekiranya kami didakwa barisan peguam Anwar akan dipanggil jadi saksi.
“Keadaan Ini berbeza dengan penulis syok sendiri di media sosial sekarang. Kalau mereka ulas kes di mahkamah tak ada seorang peguam pun mereka rujuk. Mereka terus tulis dan pembaca terus sebar. Kalau kena dengan MCMC memang nahaslah” pesan Rizuan lagi.
Sebagai editor berpengalaman, Rizuan mengingatkan bahawa cabaran sebagai wartawan hari ini memang mencabar terutamanya untuk membezakan yang mana berita palsu atau fakta yang dijumpai di media sosial itu benar atau palsu.
“Peringatan terutama untuk wartawan politik. Wartawan hiburan lain cerita. Sebab kadangkala berita separuh benar itulah yang menaikkan nama portal. Tetapi wartawan politik atau ekonomi kena ada ilmu yang lebih tinggi dari penulis genre lain di media sosial.
“Kalau kes QR kod senang saja nak sahkan berita. Boleh Google “Sebenarnya.my” yang dibuat Kementerian Komunikasi. Semua hal-hal berita palsu yang bersangkutan kerajaan boleh disahkan dari portal ni.
“Kalau perlu ‘check’ (semak) ke peguam atau persatuan pengguna dan lain perlu lakukan terlebih dulu sebelum tulis berita.
“Lebih-lebih lagi wartawan yang pergi ke lapangan, dapat berita dari individu. Bila hantar ke editor, editor pun tak tau betul atau tidak, hanya wartawan yang tahu. Ini bahaya,” pesan Rizuan.
“Ada cara editor nak selamat. Kalau macam Portal Jendela madani mungkin boleh delay beberapa jam. tengok dulu Bernama ada siar cerita sama atau tidak. Buat carian portal lain yang establish, ada perbezaan laporan atau tidak, kemudian baru siar,” tegas Rizuan.
Bagaimanapun jika isu itu melibatkan individu yang diwawancara maka wajib ambil nombor orang yang diinterview. Sebarang cerita yang dianggap kurang wajar boleh ditanya semula, sama ada bahagian itu boleh disiarkan atau tidak.
Satu lagi kelebihan portal berita berbanding Surat khabar, kalau akhbar lepas dicetak dan edar baru tahu berita itu tidak benar memang sengaja mencari penyakit.
“Kalau paper harian boleh buat ralat untuk disiar esok, mohon maaf dan sebagainy. Tapi kalau paper seminggu sekali mcm Suara Keadilan memang pekak telinga jawab telefon kena maki sebab yang tunggu minggu depan orang baru baca ralat.
“Beza dengan berita di portal. Kalau sedar berita tak benar boleh segera ditarik, dibetulkan perenggan. Biasanya dalam tempoh dua atau tiga jam pertama disiar tak ramai yang baca.
“Kira kerja dengan Jendela Madani boleh selamat sikit. Kalau tiba tiba teringat fakta salah cepat-cepat beritahu Kak N (Noraini Nordin Ketua Pengarang). Boleh dibetulkan. Kalau teruk sangat salah padam terus berita tu,” pesan Rizuan.
Cabaran media alternatif
Seperkara lagi Rizuan diminta untuk berkongsi pengalaman cabaran menaikkan pembaca media alternatif ketika era Anwar Ibrahim di penjara.
Sewaktu awal tahun 2000 akhbar Suara Keadilan dianggap ‘enemy of the state’ (musuh negara) oleh Kerajaan.
“ Nak jual suratkhabar pun masa tu sorok sorok sebab tak ada permit. Suara Keadilan hanya dapat permit era Abdullah Badawih jadi Perdana Menteri selama setahun, dan kemudian selepas Kerajaan Barisan Nasional tumbang pada 2018.
“Sebelum itu kami buat secara haram. Tapi tak lah bermusuh dengan Umno sampai sekarang. Kenangan lama. Pejabat Suara Keadilan pernah kena geledah polis.
“Tapi masa tu jualan tinggi. Paper (akhbar) Suara Keadilan pernah mencapai cetakan 120,000 satu keluaran. Masa itu paper Melayu yang mencecah jualan 100,000 hanya Utusan, Berita Harian dan Sinar Harian.
“Penyebab utama jualan Suara Keadilan tinggi kerana kami siarkan berita dianggap palsu oleh pemerintah tadi lah. Sebab berita benar seperti ini media kerajaan tak siarkan dan internet masa itu tak meluas aksesnya.
Sehingga tahun 2016, rakyat Malaysia terutama orang Melayu masih belum banyak guna telefon pintar. Kalau guna pun masa itu internet mahal, pakej berasingan, bukan pakej murah macam sekarang.
“Jadi Suara Keadilan laku keras. Bayar RM2.00 ringgit senaskah macam-macam berita seminggu boleh baca.
“Satu lagi ialah keberanian editor menyiarkan berita berita yang ‘catchy’ (sesuatu kisah menarik dan mudah ingat). Perkara ni penting, macam kisah Mastika bawah kendalian Sahidan Jaafar sebagai Editor banyak tulis artikel seram, misteri jadi orang suka baca.
“Dalam politik pun sama, benda yang tersembunyi, gosip politik ramai yang mahu baca. Terutama dalam dua tahun sebelum pilihan raya. Misalnya, ungkapan fakta atau auta.
“Ungkapan tu Suara Keadilan pernah popularkan, siarkan tiap minggu di muka depan. Saya yang buat content fakta atau auta tahun 2015, saya tulis apa yang pemimpin BN cakap dan apa yang sebenarnya terjadi. Tak sangka lepas sebulan istilah tu jadi viral satu negara, sampailah sekarang.
“Begitu juga page tengah Suara Keadilan. Saya sediakan ringkasan berita, fakta penting apa yang berlaku paling menarik seminggu. Fakta yang paling banyak saya buat masa itu ialah fakta pembunuhan Altantuya Sharibuu dan skandal kapal selam Scorpene. SK pernah laku keras sebab kes pembunuhan. Kemudian buat cerita keluarga Najib main bomoh pun ada, kami tiru sikit gaya artikel Mastika.
“Walau apa pun, idea yang paling penting. Untuk menaikkan media yang dicengkam pemerintah perlu idea yang super kreatif untuk mendapakan pembaca dan jadi viral pada zamannya.
“Begitu juga Portal Jendela Madani mungkin perlukan berita dibuat secara kreatif, laporan khas mengejutkan untuk dapat lebih ramai pembaca,” akui Rizuan mengakhiri perkongsiannya dengan Jendela Madani.
