
KUALA LUMPUR, 1 November – Penyertaan inklusif Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) menjadi antara pencapaian utama Junior Innovathon Musim Kedua 2026 apabila empat kumpulan inovator muda dinobatkan sebagai juara dalam kategori masing-masing.
Dalam kategori MBPK, Kumpulan Skabachytrothinkers dari SK Air Baruk, Melaka, muncul juara sekolah rendah menerusi inovasi Smart Helper, manakala Kumpulan SMKPKB5 dari SMK Pendidikan Khas Bumbung Lima, Pulau Pinang, menjuarai kategori sekolah menengah dengan produk Beg Dada Ilmu (BL-MU).
Kedua-dua kumpulan masing-masing menerima wang tunai RM8,000 berserta peranti mudah alih, trofi dan sijil penghargaan.
Bagi kategori terbuka, Kumpulan Skedar Royals dari SK Bandar, Selangor, muncul juara sekolah rendah menerusi Coffee-Briq, manakala Kumpulan Robotiyaz dari MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi, Pulau Pinang, memenangi kategori sekolah menengah dengan inovasi Roadbloc.
Setiap juara kategori terbuka membawa pulang wang tunai RM40,000 berserta peranti mudah alih, trofi dan sijil penghargaan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, penyertaan MBPK membuktikan potensi golongan itu dalam bidang inovasi, sekali gus mencerminkan bahawa kreativiti dan keupayaan mencipta tidak dibatasi latar belakang atau keupayaan fizikal.
Beliau berkata, idea dan produk yang dipertandingkan merupakan hasil bimbingan serta kerjasama murid dan guru selama enam hingga 12 bulan.
Penganjuran itu sekali gus memperkukuh budaya inovasi dalam kalangan generasi muda serta membuka peluang kepada semua golongan untuk menyumbang kepada pembangunan penyelesaian kreatif yang memberi manfaat kepada masyarakat.
