
REMBAU, 30 Oktober – Seorang pesara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusia 74 tahun maut selepas kereta dipandunya dihanyutkan arus banjir di Kampung Kundur Hulu, di sini, semalam.
Mangsa ditemukan terperangkap di dalam kenderaan berhampiran parit bersebelahan sungai sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.50 malam sebelum menggerakkan 14 anggota, termasuk lima anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), ke lokasi kejadian.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi menyelamat yang melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Rembau serta Teluk Kemang itu ditamatkan pada pukul 10 malam.
