
KUALA LUMPUR, 29 Oktober – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Bursa Malaysia memperluas peranannya membantu syarikat tempatan, khususnya perusahaan peringkat pertengahan, mendapatkan akses modal bagi mengembangkan perniagaan ke pasaran serantau.
Beliau berkata, banyak syarikat tempatan yang berdaya saing masih kekal berskala kecil walaupun mempunyai potensi untuk berkembang menjadi peneraju industri di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, usaha memperkukuh keupayaan syarikat tempatan bukan sahaja dapat meningkatkan daya saing ekonomi negara, malah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti.
Beliau turut menekankan kepentingan syarikat Malaysia meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai sektor semikonduktor, pembuatan termaju dan teknologi digital bagi menghadapi persaingan global.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM218.5 bilion pada separuh pertama tahun ini, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi negara.
Datuk Seri Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-50 Bursa Malaysia yang kini mempunyai lebih 1,100 syarikat tersenarai dengan permodalan pasaran melebihi RM2 trilion.
