MALAYSIA, THAILAND TUBUH JAWATANKUASA KHAS PANTAU PROJEK SEMPADAN

BANGKOK, 27 Oktober – Malaysia dan Thailand bersetuju menubuhkan jawatankuasa kerja khas bagi memantau kemajuan projek pembangunan bersama di kawasan sempadan, khususnya di bawah Strategi Pembangunan Bersama (JDS).

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jawatankuasa itu akan melaksanakan pemantauan berkala dan membentangkan laporan kemajuan kepada Jemaah Menteri Malaysia sekurang-kurangnya sekali setiap suku tahun.

Kedua-dua negara turut mencatat kemajuan dalam usaha mencapai sasaran perdagangan dua hala sebanyak US$30 bilion (RM122.6 bilion) menjelang 2027, dengan nilai dagangan semasa mencecah US$28.5 bilion.

Bagi memperkukuh kerjasama ekonomi, Malaysia dan Thailand akan meningkatkan kesalinghubungan serta perdagangan rentas sempadan, termasuk menghubungkan zon ekonomi khas, khususnya dalam industri getah dan halal.

Kedua-dua negara juga bersetuju memperkukuh kerjasama pensijilan halal dan menambah baik sistem pembayaran rentas sempadan menggunakan kod QR bagi memudahkan transaksi rakyat.

Inisiatif itu dijangka memperkukuh hubungan dua hala serta merangsang perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi komuniti di kedua-dua belah sempadan. – BERNAMA

beritaterkini

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *