
KEDAH, 27 OKTOBER 2026 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah terus mempergiatkan tindakan penguatkuasaan terhadap majikan yang melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), selaras dengan usaha membanteras pelanggaran undang-undang imigresen di negeri ini.
Dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada 12 Ogos 2026 di sebuah tapak pembinaan di Pantai Tengah, Langkawi, seramai 104 orang warga asing telah ditahan, melibatkan 91 warga Bangladesh dan 13 warga Indonesia. Kesemua tangkapan berkenaan melibatkan pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Susulan tindakan tersebut, majikan yang terlibat telah ditawarkan kompaun berjumlah RM364,000.00 di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan memberikan perlindungan kepada mana-mana individu yang diketahui melanggar peruntukan Akta Imigresen. Majikan berkenaan telah menjelaskan bayaran kompaun tersebut pada 26 Oktober 2026.
JIM Kedah menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan bukan sahaja tertumpu kepada warga asing yang melakukan kesalahan imigresen, malah turut melibatkan majikan, pemilik premis dan mana-mana pihak yang didapati melindungi, menyembunyikan atau membantu PATI, termasuk membenarkan mereka berada di premis masing-masing secara menyalahi undang-undang.
Sehubungan itu, semua majikan, kontraktor dan pengusaha premis diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang imigresen yang berkuat kuasa serta tidak bersubahat dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan imigresen negara.
JIM Kedah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah undang-undang imigresen, tanpa sebarang kompromi.
Jom Ikuti Media Sosial Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah
https://linktr.ee/jimkedah
Sebarang pertanyaan sila layari Sistem Pertanyaan Online (SPO) melalui pautan
http://eapp.imi.my/spo
@2026 Bahagian Perancangan Strategik & Khidmat Korporat | JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA NEGERI KEDAH
