PELANCARAN PROJEK PENGINDAHAN STESEN LRT MASJID JAMEK: MEMPERKASA PENGANGKUTAN AWAM, MENGHIDUPKAN WARISAN KUALA LUMPUR

KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2026 – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) terus komited memperkukuh kualiti pengangkutan awam melalui pelancaran Projek Pengindahan Stesen LRT Masjid Jamek oleh Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, hari ini.

Dengan pelaburan hampir RM5 juta, projek ini merangkumi empat komponen utama, iaitu menaik taraf kawasan Jalan Benteng dengan kemudahan ruang awam dan komersial, meningkatkan pencahayaan di Jalan Tun Perak, memperluas elemen penghijauan serta menambah baik sistem pandu arah di sekitar stesen.

Sebagai stesen penting yang menghubungkan Laluan Kelana Jaya dengan Laluan Ampang/Sri Petaling dan menerima purata kira-kira 1.39 juta penumpang sebulan, penambahbaikan ini bertujuan meningkatkan keselesaan, keselamatan, aksesibiliti dan pengalaman pengguna secara menyeluruh.

Projek ini turut menyokong aspirasi Warisan KL dengan memperkukuh peranan Stesen LRT Masjid Jamek sebagai pintu masuk ke destinasi bersejarah seperti Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad. Pembangunan ruang awam dan komersial juga berpotensi membuka peluang perniagaan, merancakkan ekonomi setempat serta meningkatkan daya tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan.

MOT berharap projek ini dapat dilaksanakan mengikut jadual dengan mengutamakan keselamatan serta meminimumkan gangguan kepada operasi pengangkutan awam dan aktiviti masyarakat setempat.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan untuk memastikan infrastruktur pengangkutan awam bukan sahaja cekap dan boleh dipercayai, malah selesa, inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat.

Pengangkutan awam berkualiti, bandar lebih mampan, rakyat lebih sejahtera.

beritaterkini

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *