



KUALA LUMPUR, 18 Oktober 2026 – Majlis Konvokesyen Open University Malaysia (OUM) Ke-31 bagi Sidang 3 telah berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur pada pukul 8.30 pagi.
Majlis tersebut menyaksikan seorang Prospek Dari Penjara Kajang berusia 38 tahun, menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dengan Kepujian.
Beliau telah memulakan pengajian pada peringkat Diploma Pengurusan dari tahun 2016 hingga 2022, sebelum meneruskan pengajian Sarjana Muda Pengurusan dari tahun 2022 hingga 2025.
Kini, beliau sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana. Turut hadir keluarga Prospek berkenaan sekali gus mencerminkan komitmen dan sokongan keluarga dalam usaha mencapai kecemerlangan akademik.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Hajah Nora Musa, Pengarah Bahagian Korektif, serta Halawiah Safinas Ishak, Ketua Unit Pendidikan, IPPM. Penyampaian sijil graduan telah disempurnakan oleh Tan Sri Azman Hashim, Canselor Open University Malaysia.
Pencapaian ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada warga institusi untuk terus berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan dan memperkasakan diri melalui pendidikan, sekali gus membuktikan bahawa peluang untuk melanjutkan pengajian dan mencapai kejayaan sentiasa terbuka kepada mereka yang mempunyai keazaman dan kesungguhan.
