
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum situasi jerebu yang sedang melanda beberapa kawasan di negara ini. Berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) pada pukul 2.00 petang, 15 Oktober 2026, sebanyak 35 stesen pemantauan kualiti udara mencatatkan bacaan IPU pada tahap Tidak Sihat (101 hingga 200), melibatkan lapan (9) negeri dan dua (2) Wilayah Persekutuan.
Kawasan yang mencatatkan bacaan IPU Tidak Sihat ialah lapan (8) kawasan di Johor, enam (6) di Selangor, empat (4) di Perak, empat (4) di Pahang dan masing-masing tiga (3) kawasan di Negeri Sembilan dan Melaka, dua (2) kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak, serta masing-masing satu (1) kawasan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Terengganu, dan Sabah. Tiada kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap Sangat Tidak Sihat atau Berbahaya.
KKM turut mengambil maklum bahawa kejadian jerebu telah berlarutan sejak beberapa minggu kebelakangan ini di beberapa kawasan tertentu, dengan tahap pencemaran udara yang berubah-ubah mengikut kawasan dan keadaan semasa.
Langkah yang paling berkesan bagi meminimumkan kesan buruk jerebu kepada kesihatan adalah dengan mengelakkan aktiviti di luar sekiranya indeks pencemaran udara (IPU) melebihi 100, iaitu indeks kualiti udara yang tidak sihat. Walau bagaimanapun, sekiranya perlu melakukan aktiviti di luar, orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan pelitup muka yang bersesuaian.
Penggunaan pelitup muka semasa jerebu sangat penting kerana jerebu mengandungi partikel halus bersaiz 2.5 mikron (PM2.5) yang boleh memasuki sistem pernafasan dan boleh membahayakan kesihatan. Oleh itu sekiranya perlu berada di luar, orang ramai dinasihatkan supaya menggunakan pelitup muka N95 kerana ia paling berkesan untuk menapis bahan pencemar udara PM2.5 semasa jerebu. Namun, sekiranya pelitup muka N95 tidak dapat diperolehi, pemakaian pelitup muka tiga lapis boleh dipertimbangkan sebagai langkah perlindungan tambahan yang terhad.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai langkah pencegahan dan perlindungan kesihatan semasa jerebu melalui laman sesawang KKM di https://infosihat.moh.gov.my/isu-semasa/51-jerebu.html.
KKM akan terus memantau situasi jerebu dan kesannya terhadap kesihatan penduduk serta memastikan fasiliti kesihatan, bekalan ubat-ubatan, dan petugas kesihatan sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang diperlukan.
KKM menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada, mengurangkan pendedahan kepada jerebu dan mengutamakan kesihatan diri serta keluarga.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
15 OKTOBER 2026
