
Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memantau dan menitikberatkan penjagaan
kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi
keadaan situasi jerebu di luar jangkaan.
Situasi jerebu yang melanda negara juga
turut menyebabkan beberapa lokasi menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara
(IPU) pada paras tidak sihat.
Sehubungan itu, KPM telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat
Pendidikan Daerah (PPD) dan semua institusi pendidikan bawah KPM terus
memantau rapat keadaan semasa jerebu di lokasi masing-masing untuk tindakan
selanjutnya.
Selain itu, arahan menghentikan segala aktiviti di luar bilik darjah
termasuk aktiviti keramaian dan sukan di luar bangunan secara serta merta
khususnya di kawasan-kawasan di mana bacaan IPU melebihi 100.
Semua institusi pendidikan bawah KPM dinasihati agar sentiasa merujuk Surat Siaran
seperti berikut untuk tindakan sewajarnya :
i. Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 5 Tahun 2016: Persediaan
Sekolah Berhubung Penjagaan Kebajikan, Kesihatan dan Keselamatan Murid
Semasa Menghadapi Cuaca Panas dan Kering Berpanjangan bertarikh 26 April 2016.
ii. Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 1 Tahun 2019: Langkah-
langkah Kementerian Pendidikan Malaysia bagi Menjamin Kesihatan dan
Keselamatan Murid di Sekolah yang Berada Dalam Kawasan Jerebu yang Dianggap
Kritikal bertarikh 15 Januari 2019.
Berdasarkan situasi semasa jerebu dan bacaan IPU yang direkodkan di seluruh
negara terkini, pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor telah mengambil
tindakan susulan berdasarkan garis panduan yang telah ditetapkan oleh KPM.
Sehubungan itu, institusi pendidikan di bawah seliaan JPN Johor di daerah Batu
Pahat ditutup sementara mulai 7 Oktober 2026 (Rabu) sehingga keadaan kembali selamat dan arahan selanjutnya dikeluarkan.
Sehubungan dengan penutupan
tersebut, pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan
berdasarkan kesesuaian serta ketetapan semasa dengan mengambil kira faktor
keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid.
JPN, PPD dan semua institusi pendidikan bawah KPM disarankan agar
melaksanakan langkah-langkah pencegahan sebagaimana dalam garis panduan
berikut:
i. Menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah jika cuaca terlalu panas dan
berjerebu;
ii. Memantau aktiviti yang boleh mendedahkan murid kepada cuaca panas dan
jerebu bagi memastikan kesihatan mereka tidak terjejas;
iii. Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 100, semua aktiviti di luar bilik darjah
yang melibatkan murid hendaklah dihentikan;
iv. Bagi kawasan yang bacaan IPU melebihi 200, semua sekolah yang berada
dalam kawasan atau daerah hendaklah ditutup dengan serta merta;
v. Memastikan bekalan air minuman bersih mencukupi di institusi pendidikan
bawah KPM dan menggalakkan murid membawa air minuman sendiri;
vi. Menasihati dan menggalakkan murid mengambil air minuman dalam kuantiti
yang sesuai bagi mengawal suhu badan;
vii. Membekalkan air minuman kepada murid asrama sekiranya keadaan kritikal
dan tiada sumber lain bagi mendapatkan air minuman; dan
viii. Sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan
sekiranya berlaku sebarang komplikasi ke atas murid akibat jerebu dan cuaca panas.
JPN, PPD dan semua institusi pendidikan bawah KPM juga perlu peka dan memantau
bacaan IPU dan status terkini melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar pada
pautan https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main dari semasa ke semasa bagi menjamin
kesihatan murid dan warga institusi pendidikan.
KPM akan memastikan aspek
kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya sentiasa diberikan
keutamaan dari semasa ke semasa.
