𝐋𝐀𝐃𝐀𝐍𝐆 πˆπŠπ€π πƒπˆ 𝐋𝐀𝐔𝐓 (π‹πˆπƒπ‹) 𝐏𝐀𝐏𝐀𝐑 ππ„π‘πŠπ”πŠπ”π‡ π’π”πŒππ„π‘ ππ„π‘πˆπŠπ€ππ€π 𝐃𝐀𝐍 π’πŽπŠπŽππ† 𝐏𝐄𝐍𝐃𝐀𝐏𝐀𝐓𝐀𝐍 ππ„π‹π€π˜π€π π’π„π“π„πŒππ€π“

PAPAR, SABAH, 21 SEPTEMBER 2026 – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meneruskan usaha memperkukuh sumber perikanan marin serta meningkatkan kesejahteraan komuniti nelayan melalui pelaksanaan Program Ladang Ikan Di Laut (LIDL) di perairan Papar, Sabah.

Program ini dilaksanakan di bawah Program Restorasi Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) susulan peruntukan sebanyak RM1.5 juta daripada PETRONAS sebagai pampasan kesan kewujudan operasi SOGT di Teluk Kimanis, Papar.

Program berkenaan telah dirasmikan oleh Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, dan turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Industri Asas Tani LKIM, Faizal Puasa; Pengarah Bahagian Kejuruteraan LKIM, Encik Zainuddin bin Mohamad; Pengarah LKIM Negeri Sabah, Mohd Jamil @ Jomiun Abdullah serta pegawai dan kakitangan LKIM.

Tiga lokasi strategik

Sebanyak 90 unit modul LIDL konkrit dibina dan dilabuhkan di tiga kawasan perairan strategik iaitu Kuala Papar, Beringgis dan Pengalat, dengan setiap lokasi menerima 30 unit modul.

Komposisi modul di setiap lokasi terdiri daripada:

18 unit modul kosong;

6 unit modul sotong; dan

6 unit modul udang kara.

Pelaksanaan projek ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan LKIM menggunakan LIDL sebagai salah satu pendekatan pengurusan dan pemulihan sumber perikanan marin. LKIM telah melaksanakan pembinaan serta pelabuhan modul LIDL konkrit dalam pelbagai bentuk seperti kuboid, silinder dan piramid sejak tahun 1983.

Sumber baharu untuk komuniti nelayan

Kewujudan LIDL di perairan Papar dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 500 orang nelayan yang terkesan dengan kewujudan operasi SOGT, khususnya berikutan kawasan penangkapan ikan yang semakin terhad dan terganggu.

Modul LIDL berfungsi sebagai struktur yang menyediakan kawasan perlindungan dan habitat kepada hidupan marin. Pada masa yang sama, kewujudan struktur tersebut membantu mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pertumbuhan organisma marin serta menjadi kawasan tumpuan pelbagai spesies hidupan laut.

Keadaan ini seterusnya dapat menyokong peningkatan sumber perikanan dan menyediakan kawasan baharu kepada nelayan untuk menjalankan aktiviti penangkapan ikan.

Tingkatkan hasil dan pendapatan nelayan

Pelaksanaan LIDL turut dijangka membantu meningkatkan hasil tangkapan dan pendapatan nelayan setempat sehingga 20 hingga 30 peratus daripada nilai tangkapan semasa, di samping berpotensi menjimatkan masa operasi penangkapan ikan di laut.

Selain aktiviti penangkapan ikan, kawasan LIDL juga berpotensi dimanfaatkan oleh nelayan sebagai lokasi membawa pemancing, sekali gus membuka peluang kepada mereka menjana pendapatan sampingan melalui aktiviti rekreasi perikanan.

Inisiatif ini secara tidak langsung dapat mempelbagaikan sumber pendapatan komuniti nelayan dan membantu meningkatkan taraf sosioekonomi golongan sasar.

Mekanisme pemulihan dan perlindungan sumber marin

LIDL bukan sahaja berperanan sebagai kawasan tumpuan hidupan marin, malah berfungsi sebagai salah satu mekanisme untuk menyokong perlindungan sumber perikanan di kawasan pesisir.

Struktur modul yang dilabuhkan menyediakan ruang perlindungan dan pembiakan kepada hidupan laut serta membantu mewujudkan kawasan habitat baharu. Dalam jangka panjang, usaha ini diharap dapat menyumbang kepada peningkatan sumber perikanan dan pengeluaran hasil laut negara.

Bagi nelayan Papar yang terkesan akibat perubahan kawasan operasi penangkapan ikan susulan kewujudan SOGT, LIDL menyediakan satu lagi kawasan yang boleh dimanfaatkan untuk meneruskan aktiviti ekonomi mereka sebagai nelayan.

Komitmen berterusan LKIM

LKIM komited untuk memastikan pelaksanaan Program LIDL ini mencapai matlamat yang ditetapkan melalui pemantauan keberkesanan modul selepas dilabuhkan.

Pemantauan tersebut penting bagi menilai perkembangan habitat, keberadaan hidupan marin serta manfaat yang diterima oleh komuniti nelayan di sekitar kawasan LIDL.

Melalui pelaksanaan program ini, LKIM berharap kawasan LIDL di Kuala Papar, Beringgis dan Pengalat dapat menjadi sumber baharu perikanan marin yang mampan, seterusnya menyumbang kepada peningkatan hasil tangkapan, pendapatan dan kesejahteraan kira-kira 500 nelayan setempat.

Program ini juga mencerminkan komitmen LKIM untuk terus memperkasa komuniti nelayan serta memastikan kelestarian sumber perikanan demi manfaat generasi akan datang.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *