



BEIJING, 23 September 2026
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, mengadakan lawatan rasmi ke Beijing bagi memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan China dalam sektor pengangkutan.
Dalam lawatan itu, beliau mengadakan mesyuarat dua hala bersama Menteri Pengangkutan China, TYT Liu Wei dengan kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai usaha memperluas kerjasama strategik serta meningkatkan kesalinghubungan, kecekapan dan kemampanan sistem pengangkutan kedua-dua negara.
Hasil mesyuarat tersebut, kedua-dua Menteri menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Pengangkutan Malaysia–China bagi pihak kerajaan masing-masing.
MoU berkenaan menyediakan kerangka rasmi kerjasama dalam sektor pengangkutan darat, rel, maritim, udara dan logistik, termasuk pertukaran kepakaran teknikal, pembangunan kapasiti, penggunaan kecerdasan buatan (AI), pengangkutan hijau serta pembangunan infrastruktur rendah karbon.
MEMPERKUKUH KEUPAYAAN MALAYSIA
Kerjasama tersebut turut dijangka memperkukuh keupayaan Malaysia dalam penggubalan dasar, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan, menarik pelaburan teknologi China serta memantapkan peranan Malaysia sebagai hab pengangkutan serantau ASEAN.
Dalam perkembangan berkaitan, Loke turut menyaksikan pemeteraian MoU Kerjasama Keselamatan Penerbangan Awam antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Civil Aviation Administration of China (CAAC).
MoU itu meliputi aspek kelulusan kelayakan, pensijilan dan pemantauan organisasi penerbangan, pelesenan serta pengawasan operasi penerbangan.
Kerjasama CAAM–CAAC akan membantu memperkukuh standard keselamatan penerbangan awam Malaysia, mengurangkan pertindihan proses teknikal serta memudahkan pergerakan produk dan perkhidmatan aeronautik antara kedua-dua negara.
Beliau turut mengadakan kunjungan hormat kepada Pentadbir National Railway Administration of China, Song Xiude. Pertemuan itu memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengawalseliaan sektor rel, keselamatan operasi, pembangunan kapasiti serta penggunaan teknologi dalam sistem rel.
Lawatan rasmi tersebut mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan China serta komitmen kedua-dua negara untuk menterjemahkan hubungan dua hala kepada kerjasama pengangkutan yang praktikal, berimpak tinggi dan saling menguntungkan.
