
LAGOS, 20 September – Kerajaan Nigeria menubuhkan panel bebas 10 anggota bagi menyiasat kematian 37 lelaki dipercayai pelombong emas yang ditemukan dalam sel tahanan pasukan keselamatan awam di Minna, Niger.
Mangsa ditahan atas dakwaan perlombongan emas secara haram dan dilaporkan ditempatkan dalam sel yang sesak serta mempunyai pengudaraan lemah.
Mangsa yang terselamat mendakwa mereka terdedah kepada bahan yang menyebabkan pedih pada hidung dan tekak sebelum pintu sel ditutup, manakala panggilan meminta bantuan didakwa tidak diendahkan.
Kejadian itu mencetuskan bantahan di Minna. Presiden Bola Tinubu mengarahkan siasatan segera dan telus, dengan panel diberi tempoh dua minggu untuk mengenal pasti pihak bertanggungjawab serta meneliti unsur kecuaian dan salah laku.
Seramai 20 pegawai dan pengawal NSCDC yang terlibat dalam penahanan itu turut digantung tugas.-AFP
