PMX PENGERUSI MTPMA63; TEKAD PERKUKUH HAK DAN KEPENTINGAN SABAH, SARAWAK

KOTA KINABALU, 11 September 2026 — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) Bilangan 1 Tahun 2026 di Kota Kinabalu, yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Premier Sarawak serta barisan pimpinan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Mesyuarat itu memberi tumpuan kepada kemajuan pelaksanaan persetujuan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain meneliti beberapa perkara strategik yang menyentuh kepentingan serta masa depan Sabah dan Sarawak.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah Inisiatif Pemerkasaan Keselamatan Sempadan Sabah dan Sarawak, pertambahan perjawatan serta Borneonisasi Perkhidmatan Awam Persekutuan di kedua-dua negeri, kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, serta pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat dari Sabah dan Sarawak.

Anwar berkata setiap perkara diteliti secara tuntas dalam semangat Persekutuan yang kukuh bagi memastikan hak dan kepentingan Sabah serta Sarawak sentiasa dihormati, dipelihara dan diterjemahkan melalui keputusan serta pelaksanaan yang berkesan.

Beliau menegaskan MA63 bukan sekadar lembaran sejarah atau dokumen yang dikenang saban tahun, sebaliknya merupakan amanah dan iltizam nasional yang perlu dilaksanakan dengan ikhlas, adil dan penuh tanggungjawab.

Menurut beliau, perkara yang telah dipersetujui perlu dilaksanakan, manakala isu yang masih belum selesai hendaklah terus dirunding dengan kebijaksanaan, keikhlasan dan semangat muafakat.

Kerajaan Persekutuan, katanya, akan terus membuka ruang perbincangan bersama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak berteraskan semangat perpaduan sebagai rakan dalam Persekutuan.

Langkah itu penting bagi memastikan pembangunan dan kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat.

Anwar turut memaklumkan bahawa pertemuan seterusnya akan diadakan di Kuching, Sarawak minggu hadapan sempena sambutan Hari Malaysia bagi menginsafi sejarah pembentukan negara serta memperteguh tekad membina Malaysia yang lebih utuh, adil dan sejahtera untuk semua.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *