


TRANSAKSI BERJAYA DIPROSES
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) komited menangani
cabaran dihadapi komuniti perniagaan susulan pelaksanaan Sistem
Pendaftaran Korporat (CRS).
CRS merupakan satu transformasi digital berskala besar dan kompleks
dilaksanakan SSM sebagai kesinambungan kepada usaha pendigitalan
perkhidmatan korporat, bukan sekadar melibatkan pembangunan sistem
baharu tetapi merangkumi penyatuan pelbagai sistem legasi, proses
perniagaan dan perkhidmatan sedia ada serta penghijrahan rekod
korporat ke satu ekosistem digital bersepadu.
Fasa 1 CRS Telah Bermula
Pelaksanaan CRS dibuat secara berfasa dan terkawal bagi memastikan
proses peralihan dapat dilaksanakan secara sistematik, di samping
memberi ruang kepada SSM untuk menstabilkan sistem dan
melaksanakan penambahbaikan berdasarkan pengalaman serta maklum
balas pengguna.
Fasa 1 yang bermula pada 14 Julai 2026 meliputi perkhidmatan
berkaitan syarikat termasuk perkhidmatan yang sebelum ini disediakan
melalui MyCoID, e-Secretary serta pelbagai perkhidmatan
penyerahsimpanan berkanun yang dilaksanakan melalui kaedah
terdahulu.
Fasa seterusnya dijangka dilaksanakan secara berperingkat sehingga
akhir tahun ini, meliputi perkhidmatan berkaitan milikan tunggal,
perkongsian konvensional, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad
(LLP). Apabila dilaksanakan sepenuhnya, CRS akan menghimpunkan
perkhidmatan pendaftaran korporat SSM di bawah satu platform digital
yang lebih bersepadu, moden dan berpusatkan pengguna.
Cabaran Sebahagian Proses Transformasi Berskala Besar
KPDN mengakui bahawa pelaksanaan CRS pada peringkat awal
berdepan beberapa cabaran, khususnya dari aspek prestasi sistem dan
pengalaman pengguna. Perkara ini turut menerima maklum balas
daripada komuniti perniagaan dan pihak berkepentingan yang
bergantung kepada perkhidmatan SSM bagi melaksanakan urusan
pendaftaran, pemfailan dan transaksi korporat mereka. Namun, cabaran
tersebut telah ditangani dan SSM sedang melaksanakan proses
penstabilan dan pengoptimuman secara berterusan.
CRS melibatkan integrasi sistem dan proses perniagaan yang kompleks,
termasuk perubahan atau kemas kini maklumat korporat seperti
pertukaran alamat, perubahan pengarah serta pelbagai transaksi lain
yang memerlukan penyelarasan data dan rekod korporat sedia ada.
SSM Gerakkan Pasukan Teknikal Secara Intensif
Bagi menangani isu yang timbul, SSM telah menggerakkan program
pemulihan dan penstabilan yang melibatkan pasukan teknikal SSM,
pembangun sistem, pakar pangkalan data dan pakar infrastruktur.
Langkah ini turut disokong pemantauan sistem secara intensif,
penyelenggaraan berjadual serta peningkatan teknikal berterusan bagi
memperkukuh kestabilan sistem dan meningkatkan pengalaman
pengguna.
SSM juga terus mengemas kini soalan lazim (FAQ), manual pengguna
dan panduan penggunaan, selain menyediakan saluran sokongan
pelanggan CRS, ruang libat urus dengan komuniti perniagaan serta
bahan rujukan berkaitan sistem di laman web rasmi SSM.Dalam tempoh
penstabilan ini, SSM turut mengambil langkah untuk mengurangkan
kesan peralihan terhadap komuniti korporat. Antaranya ialah
pengecualian automatik daripada yuran lewat serah simpan bagi
pemfailan melalui CRS dan MBRS, selain pelanjutan tempoh
penyerahsimpanan berkanun bagi transaksi terpilih. Pendekatan ini
penting bagi memastikan pengguna tidak dikenakan penalti akibat
kelewatan berpunca daripada tempoh peralihan dan penstabilan sistem.
Lebih 70,000 Transaksi Berjaya Diproses
Daripada sistem dan proses manual pada peringkat awal penubuhan,
SSM telah memperkenalkan pelbagai platform digital seperti MyCoID,
EzBiz Online, MyLLP dan Malaysia Business Reporting System (MBRS)
sebelum menyediakan SSM4U sebagai gerbang tunggal kepada
perkhidmatan dalam talian SSM.
CRS kini menjadi langkah seterusnya dalam evolusi tersebut dengan
matlamat menyatukan perkhidmatan pendaftaran korporat ke dalam
ekosistem digital yang lebih bersepadu. Walaupun berdepan cabaran
pada peringkat awal pelaksanaan, CRS menunjukkan perkembangan
positif. Setakat 10 Ogos 2026, lebih 70,000 transaksi telah berjaya
diproses melalui CRS. Pencapaian ini dalam tempoh kurang sebulan
selepas sistem mula beroperasi menunjukkan bahawa sistem tersebut
telah mula menyokong transaksi korporat secara aktif, sementara kerja
penstabilan dan penambahbaikan terus dilaksanakan.
Dengan SSM kini mengawal selia lebih 718,000 syarikat aktif, 1.7 juta
perniagaan aktif dan 40,000 perkongsian liabiliti terhad aktif,
keperluan terhadap sistem pendaftaran korporat yang cekap, selamat dan
berdaya tahan adalah semakin penting.
Transformasi Perlu Dibina Atas Kepercayaan
Dalam era ekonomi digital, transformasi teknologi tidak boleh dipisahkan
daripada soal kepercayaan, tadbir urus dan integriti data. Sistem yang
lebih pantas dan moden mesti pada masa sama mempunyai tahap
keselamatan, ketepatan data dan kebolehpercayaan tinggi. KPDN
menyokong usaha SSM untuk terus menstabilkan CRS dan
memperkukuh sistem berdasarkan maklum balas pengguna, selain turut
menghargai kesabaran serta kerjasama komuniti perniagaan sepanjang
tempoh peralihan ini
Justeru, penambahbaikan CRS akan terus dilakukan secara berterusan
dan berfasa supaya matlamat mewujudkan ekosistem pendaftaran
korporat Malaysia yang moden, selamat, cekap, berdaya tahan dan
berpusatkan pengguna tercapai.
KPDN yakin bahawa dengan pendekatan penambahbaikan berterusan,
libat urus bersama komuniti perniagaan serta komitmen SSM untuk
menangani isu yang timbul, CRS akan menjadi antara pemangkin penting
kepada agenda pendigitalan sektor korporat dan pembangunan ekonomi
digital Malaysia.
YB SENATOR DATUK DR FUZIAH SALLEH
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri
dan Kos Sara Hidup
Kuala Lumpur
18 Ogos 2026
Berdasarkan kenyataan media di atas buatkan poster Dan gunakan gambar yang diberikan sebagai gambar poster Dan letakkan logo JENDELA MADANI diatas Dan logo MALAYSIA MADANI dibawah poster. Sorotan Berita JENDELA MADANI. Background warna cerah. Jangan bertindihkan gambar
