

KEMENTERIAN DALAM NEGERI DAN KEMENTERIAN KOMUNIKASI
MCMC DAN JIM METERAI MoU PERKUKUH PENGUATKUASAAN
JENAYAH RENTAS SEMPADAN
18 OGOS 2026
CYBERJAYA –
Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Komunikasi hari ini
memperkukuh kerjasama strategik melalui pemeteraian memorandum (MoU)
persefahaman antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
yang diwakili Pengerusi MCMC, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), YBhg. Dato’ Zakaria Shaaban.
Majlis pertukaran MoU disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin
Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil sekali gus
membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kerjasama dalam
membanteras jenayah rentas sempadan serta penyalahgunaan rangkaian komunikasi
dan teknologi digital.
Menerusi MoU ini, MCMC dan JIM akan memperluas kerjasama dalam perkongsian
maklumat dan risikan, pelaksanaan operasi bersepadu, pembangunan kapasiti serta
pengukuhan kesalinghubungan sistem bagi menyokong pengesanan, siasatan dan
tindakan penguatkuasaan yang lebih cekap dan berkesan.
Kerjasama yang lebih erat ini penting dalam mendepani ancaman jenayah rentas
sempadan yang semakin kompleks, khususnya apabila rangkaian komunikasi dan
platform digital dieksploitasi oleh sindiket untuk menjalankan kegiatan seperti
penipuan dalam talian, pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, pemalsuan
dokumen dan penyalahgunaan identiti.
Dalam menangani ancaman tersebut, kedua-dua agensi akan memanfaatkan
kekuatan serta bidang kuasa masing-masing melalui penyelarasan usaha
penguatkuasaan, perkongsian risikan dan tindakan yang lebih terselaras bagi
memperkukuh langkah pencegahan terhadap kegiatan jenayah yang melibatkan
elemen rentas sempadan dan digital.
Pendekatan bersepadu ini dijangka dapat meningkatkan keupayaan kedua-dua
agensi menerusi penyelarasan tindakan yang lebih cekap, pengukuhan keupayaan
pegawai serta pengoptimuman sumber dan kepakaran dalam menangani ancaman
keselamatan yang semakin kompleks.
Selain memperkukuh kerjasama penguatkuasaan, MCMC turut mempergiat langkah
pencegahan bagi menangani risiko penyalahgunaan identiti dan dokumen
pengenalan diri yang sering dieksploitasi untuk tujuan jenayah. Antaranya melalui
penambahbaikan Standard Mandatori bagi Pendaftaran Pengguna Akhir
Perkhidmatan Selular Awam Prabayar, yang bertujuan meningkatkan integriti proses
pendaftaran serta mengurangkan risiko penyalahgunaan dokumen pengenalan diri
bagi pendaftaran talian.
Kerjasama strategik ini diharap dapat meningkatkan keupayaan kedua-dua agensi
dalam mengesan, mengganggu dan membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan,
di samping memperkukuh perlindungan terhadap rakyat daripada ancaman penipuan
dalam talian, penyalahgunaan identiti dan jenayah yang memanfaatkan teknologi
digital.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar
Nasarah; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, YBhg. Datuk Dr. Awang Alik
bin Jeman dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Abdul Halim
Hamzah.
