JBPM perkukuh kesiapsiagaan hadapi risiko gempa dan bangunan runtuh

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkukuh kesiapsiagaan operasi dengan menambah keupayaan logistik, aset dan pasukan khusus bagi menghadapi risiko insiden bangunan runtuh susulan beberapa siri gempa bumi yang melanda Indonesia baru-baru ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, kesiapsiagaan itu penting bagi memastikan pasukan penyelamat mampu bertindak pantas sekiranya berlaku insiden runtuhan struktur akibat bencana gempa bumi.

Menurut beliau, setiap anggota bomba dilatih menerusi modul asas kebombaan bagi melaksanakan kerja-kerja penyelamatan, khususnya dalam operasi melibatkan struktur bangunan yang runtuh.

Katanya, JBPM turut memperkukuh keupayaan operasi menerusi penambahan aset dan pasukan khusus, termasuk memperoleh enam ekor anjing pengesan (K9) tambahan bagi operasi Mencari dan Menyelamat Perbandaran (USAR) untuk membantu mengesan mangsa yang mungkin terperangkap di bawah runtuhan.

“JBPM juga telah membuat perolehan enam unit jentera khusus USAR yang dilengkapi peralatan lasak dan berat bagi menyokong operasi menyelamat.

“JBPM turut mempunyai 481 anggota khas di bawah Pasukan Khas Operasi Taktikal Khusus Malaysia (STORM) yang berkemahiran tinggi dalam operasi menyelamat bangunan runtuh,” katanya ketika dihubungi RTM.

Datuk Seri Nor Hisham berkata, anggota STORM ditempatkan di balai-balai bomba di seluruh negara dan boleh dihimpunkan ke mana-mana lokasi sekiranya berlaku insiden besar, dengan sasaran pergerakan seawal dua jam selepas diaktifkan.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia turut mempunyai Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang diiktiraf Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG).

“Pegawai bomba yang menjadi sebahagian daripada pasukan terakreditasi INSARAG sentiasa bersiap sedia untuk menangani insiden runtuhan yang kompleks,” katanya.

Kesiapsiagaan JBPM itu turut mengambil kira perkembangan terkini di rantau ini apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan satu lagi gempa bumi sederhana bermagnitud 5.4 melanda rantau Flores, Indonesia pada 11.48 pagi tadi.

Kejadian tersebut merupakan gempa bumi ketiga yang direkodkan di rantau berkenaan pada hari yang sama, sekali gus menuntut kesiapsiagaan berterusan pasukan penyelamat dalam menghadapi kemungkinan insiden berkaitan bencana geologi.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *