Kerajaan jamin laksana Titah Agong – PMX

8 Ogos 2026

Perdana Menteri menjunjung kasih terhadap Yang Dipertuan Agong atas perkenan menerima beliau menghadap bagi menyembah maklum berhubung beberapa perkembangan penting yang menyentuh kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, kerajaan memberi jaminan akan berusaha melaksanakan Titah Baginda itu.

“Insya-Allah, saya dan seluruh jentera Kerajaan akan sentiasa menjunjung titah Baginda Tuanku demi memperkukuh tadbir urus, penguatkuasaan dan keselamatan negara, sekali gus menjamin kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Facebooknya.

Anwar berkata demikian susulan majlis menghadap Yang Dipertuan Agong pagi tadi.

Anwar menegaskan, Titah Baginda agar siasatan berhubung Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji dilaksanakan secara menyeluruh adalah selari dengan iltizam Kerajaan Madani untuk memastikan setiap syor dan dapatan dalam laporan itu disiasat secara tuntas tanpa sebarang kompromi.

“Tabung Haji menguruskan amanah yang lahir daripada hasil keringat jutaan rakyat, termasuk petani, penjawat awam dan golongan berpendapatan sederhana serta rendah yang menabung selama bertahun-tahun demi menyahut panggilan haji.

“Amanah sebesar itu tidak seharusnya dikhianati.

“Justeru, sesiapa yang didapati menyalahgunakan kepercayaan tersebut hendaklah diheret ke muka pengadilan menurut lunas undang-undang,” tegas beliau.

KEMAJUAN SIASATAN

Kata Anwar, Baginda turut menyentuh perkembangan berkaitan FELDA dan beliau telah menyembah maklum mengenai kemajuan siasatan serta laporan Pasukan Petugas Khas yang sedang diperhalusi kerajaan agar segala penemuan diteliti secara menyeluruh dan tindakan sewajarnya diambil menurut lunas undang-undang.

“Kerajaan Madani akan terus berpegang teguh kepada prinsip tatakelola yang baik, ketelusan dan kebertanggungjawaban, dengan memastikan keadilan ditegakkan serta setiap pengkhianatan terhadap amanah rakyat dikenakan tindakan tegas tanpa mengira kedudukan atau pangkat,” tambahnya.

Selain itu, menurut Perdana Menteri lagi, Kerajaan Madani pimpinannya juga akan terus memperkukuh kawalan keselamatan di semua pintu masuk negara melalui penguatkuasaan yang berkesan, pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara agensi bagi membendung jenayah rentas sempadan, sekali gus memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *