
8 Ogos 2026
Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memperkukuh keselamatan di Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE) menerusi pendekatan keselamatan bersepadu, penguatkuasaan berterusan serta kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah dan agensi keselamatan. Usaha ini bukan sahaja penting dalam mempertahankan kedaulatan negara, malah menjadi asas kepada peningkatan keyakinan masyarakat tempatan dan antarabangsa terhadap keselamatan serta potensi pelancongan di Pantai Timur Sabah.
“Keselamatan yang terpelihara membina keyakinan, menyokong pelancongan dan melindungi kedaulatan negara. KDN akan terus memastikan ESSZONE kekal selamat dan terkawal demi kesejahteraan rakyat serta keyakinan masyarakat antarabangsa.”
— YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri.
Prestasi keselamatan ESSZONE bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2026 memperlihatkan komitmen berterusan pasukan keselamatan di lapangan. Sebanyak 897,293 pemeriksaan telah dilaksanakan, membawa kepada 307 tangkapan dan 38 rampasan bernilai RM23.37 juta.
Pada masa yang sama, ESSZONE telah menerima seramai 129,492 pelancong setakat Jun 2026.
Perkembangan ini memberikan petunjuk positif terhadap keyakinan pelawat kepada tahap keselamatan dan potensi besar sektor pelancongan di kawasan berkenaan.
Menerusi Program Tinjauan Keselamatan Bersama Perwakilan Asing ke ESSZONE 2026, seramai 14 wakil diplomatik dan perwakilan asing berpeluang melihat sendiri situasi keselamatan serta keunikan destinasi di sekitar ESSZONE. Pendekatan ini penting bagi membolehkan gambaran yang tepat, berfakta dan seimbang mengenai keadaan sebenar di kawasan berkenaan disampaikan kepada masyarakat antarabangsa.
KDN menghormati hak setiap negara dalam menentukan nasihat perjalanan masing-masing.
Pada masa yang sama, Kerajaan akan terus menyediakan maklumat yang tepat dan menyeluruh mengenai ESSZONE serta memperkukuh tahap keselamatan melalui pendekatan whole-of-government bersama ESSCOM dan semua agensi berkaitan.
PENGORBANAN ANGGOTA KESELAMATAN
Di sebalik setiap pemeriksaan, tangkapan dan operasi penguatkuasaan, terdapat komitmen serta pengorbanan anggota keselamatan yang bertugas menjaga rakyat dan mempertahankan kedaulatan negara.
ESSZONE selamat. Keselamatan diperkukuh. Keyakinan dibina. Pelancongan dipacu. Kedaulatan terus dipertahankan.
Sumber: Sidang Media Menteri Dalam Negeri sempena Program Tinjauan Keselamatan Bersama Perwakilan Asing ke ESSZONE 2026, Sandakan, Sabah | 7 Ogos 2026
